Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DBKL ikrar usir semua penjaja warga asing
Diterbitkan:  May 6, 2020 5:49 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited untuk menguatkuasakan Undang-undang Kecil (UUK) sedia ada, bagi memastikan tiada warga asing terlibat dalam sektor penjajaan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dalam satu kenyataan turut menegaskan, tindakan penguatkuasaan itu turut melibatkan lain-lain agensi yang terbabit seperti Jabatan Imigresen Malaysia.

"Kebanjiran para peniaga warga asing khususnya di sektor Tred, Perniagaan & Industri dan Penjajaan, telah memberi impak yang tidak baik kepada para peniaga tempatan, serta mencemarkan imej bandar raya Kuala Lumpur," katanya.

Nor Hisham berkata, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang diurus tadbir oleh DBKL, mempunyai dua kategori perniagaaan yang dikawal oleh UUK, bertujuan untuk mengawal aktiviti perniagaan tersebut serta menguatkuasakan peruntukan peraturan di dalamnya.

Baru-baru ini telah timbul kekeliruan kepada awam, berhubung penglibatan warga asing di dalam dua kategori perniagaan ini.

Nor Hisham menjelaskan mengikut UUK Pelesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Penempatan Makanan (WPKL) 2016, perundangan membenarkan pemegang lesen untuk mengambil mana-mana warga asing yang mempunyai permit kerja yang sah, untuk bekerja di premis-premis yang dilesenkan di bawah undang-undang tersebut.

Manakala pelesenan pula bagi kedua-dua UUK tersebut memperuntukan mana-mana orang, termasuk syarikat milik warga asing, boleh memohon lesen perniagaan.

Selain itu, kuasa mutlak Datuk Bandar untuk meluluskan atau menolak sesuatu permohonan lesen oleh mana-mana orang serta dalam mempertimbangkan apa-apa permohonan, Datuk Bandar juga akan merujuk kepada dasar semasa kerajaan, garis panduan dan perundangan-perundangan lain yang berkaitan.

Aktiviti perniagaan tersebut beroperasi di rumah kedai, kompleks beli-belah, bangunan pejabat, restoran, kedai runcit dan serbaneka.

Sementara itu, Penjajaan pula mengguna pakai UUK Pasar Borong (WPKL) 2002, UUK Pelesenan Pasar (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

Mengikut UUK Pasar Borong (WPKL) 2002, perundangan membenarkan pemegang lesen untuk mengambil pembantu warga tempatan, yang telah diluluskan Datuk Bandar sahaja untuk bekerja di pasar borong.

Menurut Datuk Bandar, UUK Pelesenan Pasar (WPKL) 2016 tidak membenarkan pemegang lesen pasar sama ada pasar awam atau pasar persendirian, untuk mengambil bekerja mana-mana pembantu warga asing di pasar awam atau mengambil mana-mana warga asing tanpa permit kerja yang sah, untuk bekerja di pasar persendiriannya.

Selain itu, UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 tidak membenarkan pemegang lesen mengambil warga asing bekerja di gerainya.

Nor Hisham berkata, pelesenan bagi ketiga-tiga UUK tersebut adalah mana-mana orang iaitu warga negara sahaja, boleh memohon lesen pasar borong, pasar dan penjaja serta kuasa mutlak Datuk Bandar untuk meluluskan atau menolak sesuatu permohonan lesen, oleh mana-mana orang.

Aktiviti perniagaan tersebut meliputi Pasar Borong, Pasar dan Penjaja yang beroperasi di Pasar, Penjaja Tepi Jalan, Pusat Penjaja dan Pasar Malam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS