Paling Popular
Terkini

Penyiar berita veteran ikonik Radio Televisyen Malaysia (RTM) Datuk Harjit Singh Hullon masih hidup!

Begitu juga Harjit Singh Gill, pesara editor berita Meja Bahasa Inggeris RTM!

Yang sedihnya, Harjit Singh Bhullar, bekas komentator sukan Perkhidmatan Bahasa Inggeris Radio Malaysia, meninggal dunia di Perth, Australia, semalam. Mendiang berumur 80-an.

Kekeliruan itu hanya timbul selepas satu hantaran dalam media sosial yang menyatakan Harjit Singh telah meninggal dunia dan gambar Harjit Singh Hullon dimuat naik dalam mesej berkenaan.

“Sejak pagi, anggota keluarga saya telah menerima banyak panggilan telefon dan mesej mengenainya. Hingga ia menimbulkan gangguan emosi kepada kami dan menyebabkan kekeliruan kepada anggota masyarakat,” kata Harjit Singh Hullon, 67, kepada Bernama.

“Saya baik-baik saja. Saya ingin membetulkan persepsi orang ramai berhubung dengan kematian itu,” katanya.

Wajah Harjit Singh Hullon memang tidak asing lagi kepada kebanyakan rakyat Malaysia yang sering menonton berita waktu perdana di RTM. Beliau terkenal dengan kelebihan penuturan diksi yang sempurna dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris dan sebagai satu-satunya penyiar berita berbangsa Sikh di stesen televisyen.

Harjit Singh Gill, 66, editor berita Meja Bahasa Inggeris, menjelaskan bahawa terdapat tiga orang bernama Harjit Singh yang pernah bekerja di RTM.

Harjit Singh Bhullar, komentator sukan, yang diumumkan telah meninggal dunia.

Harjit Singh Hullon berkata, Harjit Singh Bhullar berhijrah ke Perth, selepas bersara pada 1990-an, dengan isteri Doris Chua, seorang lagi rakan sekerja di Radio Malaysia, bersama dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.

“Pada 1960-an, Bhullar menyertai bidang televisyen dan menjadi penerbit. Saya ucapkan takziah kepada isteri dan keluarganya di atas pemergian beliau,” katanya, menjelaskan kekeliruan berhubung dengan apa yang boleh dianggap sebagai satu nama sama di tempat kerja.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS