Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nampak tak cakna, Kelantan mahu orang ramai patuhi SOP

KORONAVIRUS | Kerajaan Kelantan memberi peringatan supaya rakyat negeri itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

Timbalan menteri besarnya, Mohd Amar Abdullah, berkata orang ramai dilihat tidak cakna dan ambil mudah SOP berkenaan.

Menurut beliau, laporan yang diterimanya sejak pagi tadi, penjarakan sosial masih lagi gagal dipatuhi dan tidak diberi perhatian dengan baik.

"Hari ini saya ditunjukkan banyak gambar mengenai penjarakan sosial yang tidak diberi perhatian dan orang ramai tidak cakna serta ambil mudah terhadap perkara itu.

"Kita perlu letakkan kepentingan keselamatan dan kesihatan lebih utama daripada isu lain dan kerajaan buka ruang bukan untuk kita permudahkan (ambil mudah).

"Kita kena ambil iktibar daripada apa yang berlaku di luar negara yang apabila diberi kelonggaran, wabak Covid-19 ini merebak kembali terutama di kawasan yang bukan berstatus hijau," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10, Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar menyeru agar rakyat negeri ini patuhi segala SOP yang ditetapkan terutama dari aspek penjarakan sosial malah ia secara khususnya bergantung kepada diri sendiri.

"Yang kita bincang adalah dari segi kepatuhan orang ramai yang perlu jaga SOP terutama penjarakan sosial. Ini pun kita nampak di beberapa tempat penjarakan sosial tak diberi perhatian.

"Pihak yang bertangungjawab perlu ambil tindakan, dalam konteks ini pihak polis dan dibantu anggota Rela," katanya.

Sementara itu Mohd Amar memberitahu Kelantan mengambil langkah melaksanakan PKPB selepas mempertimbangkan saranan dan kepentingannya.

Jelasnya, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan beberapa perkara teknikal termasuk mengimbangkan aspek ekonomi dan keperluan masyarakat sebelum membuat keputusan melaksanakan PKPB.

"Secara dasarnya semua negeri bersetuju dengan penguatkuasaan PKPB cuma dari segi pelaksanaannya, ada isu teknikal yang perlu diselesaikan di peringkat negeri.

"Sebab itulah kita laksanakan lewat sedikit dari tarikh ditetapkan, bukan bercanggah dengan kerajaan pusat seperti yang didakwa," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS