Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MKN kaji SOP selepas warga asing larikan diri
Diterbitkan:  May 6, 2020 3:20 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) selepas enam warga asing melarikan diri dari pusat kuarantin di Kuala Lumpur.

Ismail berkata ia bukan kali pertama kejadian seperti itu berlaku dan polis telah mengambil tindakan pantas untuk memburu individu berkenaan.

"Kita akan lihat dari segi SOP bagaimana mereka boleh lari dari kawasan tersebut.

"Kalau SOP tak ketat kita akan perketatkan. InsyaAllah MKN akan tengok," kata menteri kanan kluster keselamatan itu semasa sidang akhbar harian berkenaan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Awal hari ini, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma) mengesahkan enam warga asing yang disyaki menghidap Covid-19 melarikan diri dari stesen kuarantin di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Antarabangsa, Jalan Pantai Endah, Kuala Lumpur dua hari lepas.

Jurucakap Nadma memberitahu Malaysiakini laporan polis telah dibuat terhadap empat warga Indonesia dan dua warga Bangladesh berkenaan.

Mereka merupakan antara 242 individu yang diletakkan sebagai pesakit di bawah siasatan di pusat berkenaan.

Ini berikutan laporan akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star semalam bahawa sekumpulan warga asing yang tinggal di Selangor Mansion, Menara City One dan Kampung Baru diletakkan di pusat kuarantin tersebut kerana disyaki menghidap Covid-19.

Bagaimanapun, laporan oleh The Star menyatakan kejadian itu melibatkan tujuh warga asing dan bukannya enam.

[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS