Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengurusan kes Shahrir didakwa gagal isytihar RM1 juta ditunda 15 Mei

Kes bekas pengerusi Felda Shahrir Ab Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), telah dijadualkan semula pada 15 Mei untuk pengurusan kes, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Peguam Syahrul Syazwan Salehin yang mewakili Shahrir memberitahu Bernama, ia susulan lanjutan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Mahkamah sebelum ini menetapkan Isnin lepas untuk pengurusan kes itu.

Ditanya sama ada pihaknya merancang untuk mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan yang dihadapi anak guamnya atau memfailkan permohonan bagi membatalkan pertuduhan itu, Syahrul Syazwan berkata pihaknya akan berbincang dengan anak guam selepas pihak pendakwaan menyerahkan sepenuhnya dokumen kepada mereka.

“Pihak pendakwaan masih lagi belum menyerahkan sepenuhnya dokumen kepada kami. Bila dokumen telah diserahkan sepenuhnya pihak kami akan berbincang dengan anak guam untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali ketika dihubungi memaklumkan bahawa pihaknya akan menyerahkan beberapa dokumen tambahan kepada pihak pembelaan pada tarikh pengurusan kes berkenaan.

Shahrir, 71, dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada bekas perdana menteri berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov, 2013.

Cek itu kemudiannya telah dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 Nov 2013.

Oleh itu, Shahrir didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram dan dituduh melakukan kesalahan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April, 2014.

Pertuduhan ke atas beliau adalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS