Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'K'jaan tak campur tangan soal kehakiman'
Diterbitkan:  May 6, 2020 3:10 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Di tengah-tengah persoalan berkenaan perbezaan hukuman terhadap mereka yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP), Menteri Kanan (kluster keselamatan) Ismail Sabri berkata kerajaan tidak campur tangan dalam kehakiman.

"Kita sebagai negara demokrasi, yang mengamalkan kebebasan sistem kehakiman, kerajaan tak campur tangan dalam keputusan yang dibuat mahkamah terhadap sesiapa yang dituduh.

"Ia terserah kepada budi bicara (mahkamah) untuk tentukan hukuman. Mungkin fakta kes berbeza, kita pun tak tahu.

"Setiap kes ada fakta berbeza, oleh itu majistret putuskan (hukuman) sedemikian rupa," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keadaan di mana ada pihak yang didenda RM1,000 akibat ingkar PKP, dan ada yang didenda dengan jumlah yang lebih rendah.

Terdahulu hari ini, seorang ibu tunggal dilaporkan membandingkan hukuman penjara sebulan terhadapnya sementara Nurulhidayah, anak kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, hanya dikenakan denda RM800.

Hukuman terhadap ibu tunggal itu dikurangkan kepada denda RM1,000 selepas rayuan dibuat. Bagaimanapun dia telah menjalani hukuman penjara selama lapan hari.

Mengikut Seksyen 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020, mereka yang ingkar PKP boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Semalam, Nurulhidayah dan suaminya Saiful Nizam Mohd Yusoff mengaku bersalah atas tuduhan melanggar PKP di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Majistret Shah Wirah Abdul Halim menjatuhkan hukuman denda RM800 kepada mereka. 

Nurulhidayah dan Saiful Nizam melanggar PKP pada 20 April lalu, dengan bergerak dari Kajang ke Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya, atas jemputan Timbalan Menteri Alam Sekitar Ahmad Masrizal Muhammad.

Di bawah PKP, perniagaan dan perkhidmatan tidak penting tidak dibenarkan beroperasi dan orang ramai dilarang keluar rumah kecuali atas beberapa sebab, seperti membeli barangan keperluan.

Mereka juga dilarang membuat pergerakan melebihi radius 10km dari kediaman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS