Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Cadangan Bersatu kembali kepada PH perlu diputuskan Majlis Presiden'
Diterbitkan:  May 6, 2020 2:48 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Menyambut baik kenyataan Mukhriz Mahathir agar Bersatu kembali kepada PH, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata perkara tersebut tetap wajar dibincangkan oleh Majlis Presiden gabungan itu.

Mohamad berkata, PH sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendukung prinsip integriti dan tajdid yang diperjuangkan mereka.

"Amanah menyambut baik pandangan Mukhriz yang menyifatkan parti itu perlu kembali bersama PH.

"Keutuhan gabungan bersama PH merupakan tunjang dan kekuatan dalam menghadapi segala krisis yang melanda negara dan pada masa yang sama berhadapan kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional (PN).

"Bagaimanapun Amanah berpandangan perkara tersebut wajar dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden," katanya dalam kenyataan.

Pada 3 Mei lalu, Mukhriz yang merupakan timbalan presiden Bersatu berkata satu-satunya pilihan parti itu kini adalah kembali kepada PH selepas "pengalaman pahit" dua bulan bersama PN.

Beliau antara lain membangkitkan isu pembahagian kerusi antara Bersatu, Umno dan PAS pada PRU akan datang - dengan mengambil kira ketiga-tiga parti itu mempunyai asas sokongan yang sama, iaitu pengundi Melayu dan Islam.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PH) bersikap terbuka jika Bersatu berhasrat untuk menyertai gabungan itu semula dengan syarat "patuh kepada agenda perubahan termasuk reformasi" gabungan itu.

Pada Februari lalu, Muhyiddin Yassin selaku presiden membawa keluar Bersatu daripada PH, mengakibatkan kejatuhan kerajaan PH.

Bersatu bakal mengadakan pemilihan parti dan pengerusinya Dr Mahathir Mohamad sebelum ini membayangkan hasrat untuk mendapatkan semula kawalan terhadap parti itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS