Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin perlu segera kembali bersama Umno untuk memastikan beliau terus kekal sebagai perdana menteri dan mempunyai ruang yang luas dalam politik.
Naib Ketua Pemuda Amanah Abbas Azmi, berkata ketidakstabilan dalam Perikatan Nasional (PN) amat jelas apatah lagi Bersatu yang dipimpin Muhyiddin turut berpecah dengan kumpulan Dr Mahathir Mohamad.
"Mahathir telah mengesahkan kedudukannya sebagai pengerusi parti manakala Muhyiddin terpaksa bersaing untuk kekal sebagai presiden.
"Ini menampakkan kelemahan Muhyiddin sebagai presiden parti apabila dicabar oleh anak pengerusi parti Mukhriz Mahathir. Imej Muhyiddin tenggelam di dalam partinya sendiri. Apatah lagi pendirian berbeza antara pengerusi dan presiden.
"Jalan terbaik Muhyiddin segera bersama Umno bagi memastikan dia kekal sebagai perdana menteri dan punyai ruang luas di dalam arus politik negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Anggota Majis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman mempelawa Muhyiddin untuk kembali menyertai Umno.
Jelas Tajuddin, ia penting bagi memastikan tiada pertembungan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang selain membolehkan Muhyiddin terus kekal menjadi perdana menteri,
"Selagi duduk dalam parti berbeza, selagi itulah kita akan bersaing antara satu sama lain... selagi itu tidak akan bersatu.
"Umno parti yang sudah lama, Muhyiddin pun orang Melayu. Apa perlunya Bersatu? Masuklah Umno, boleh jadi perdana menteri Umno.
"Kita pelawa, marilah masuk Umno, yang baik-baik mari masuk Umno... saya rasa orang Melayu Umno boleh terima," katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini.
Abbas, berkata faktor utama ketidakseimbangan hubungan antara parti PN ini ialah disebabkan masing masing parti mempunyai kekuatan sendiri.
Misalnya Umno mempunyai jumlah kerusi yang banyak berbanding Bersatu sedangkan perdana menteri dilantik dari parti itu.
Selain itu hubungan antara parti antara Bersatu dengan Pakatan Harapan (PH) juga turut menjadi masalah kerana Muhyiddin bersama PN dengan Mahathir masih memihak kepada PH.
"Dr Mahathir boleh berbincang dengan PH tetapi tidak boleh bersama Umno. Manakala presiden pula sebaliknya. Maka ia menimbulkan konflik antara parti kedua-dua pakatan ini.
"Apabila Muhyiddin kembali kepada Umno maka jelaslah hubungan antara parti dan tidak timbul kecelaruan lagi.
"Muhyiddin pasti tidak akan kekok berada kembali dalam Umno kerana dia telah berpuluh tahun bersama bahkan karier politiknya bermula dan bersinar di dalam Umno," katanya.