Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Larangan liputan kes anak Zahid, satu penindasan tugas wartawan’
Diterbitkan:  May 6, 2020 11:29 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) hari ini menuntut penjelasan daripada badan kehakiman negara yang melarang wartawan dan petugas media membuat liputan di sidang mahkamah terbuka.

Merujuk, kes pendakwaan terhadap Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya Saiful Nizam, semalam kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP), Setiausaha Agung NUJ, Chin Sung Chew berkata, larangan itu seolah-olah menunjukkan tidak ada kebebasan media di negara ini.

“NUJ membantah larangan seumpama ini yang boleh menunjukkan bahawa Malaysia tidak mengamalkan kebebasan media yang sepatutnya apatah lagi ia berlaku di mahkamah yang menjadi lambang keadilan di negara ini.

“Malaysia adalah negara demokrasi dan media berperanan untuk melaporkan apa yang dilakukan oleh mahkamah dalam menjalankan tugas keadilan terhadap rakyatnya.

“Sehubungan itu, NUJ menggesa penjelasan daripada pihak mahkamah berhubungan larangan itu, memandangkan tiada sebarang alasan diberikan ketika wartawan diminta untuk tidak membuat liputan di mahkamah terbuka,” katanya.

Chin berkata, tindakan mahkamah semalam itu adalah salah satu cara menghalang tugas wartawan daripada bebas mendapatkan maklumat walaupun ia membabitkan anak ahli politik mahupun orang ternama.

Menurutnya, selagi wartawan tidak melanggar peraturan mahkamah, larangan tersebut boleh dianggap satu penindasan kepada tugas wartawan untuk mendapatkan berita.

“NUJ berharap supaya semua pihak lebih prihatin, bersikap profesional dan memahami tugas wartawan yang melaporkan untuk disalurkan kepada pengetahuan rakyat,” katanya.

Semalam, Nurulhidayah dan Saiful mengaku bersalah atas tuduhan melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Nurulhidayah adalah anak perempuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau dan suaminya dituduh melakukan perjalanan dari Kajang ke Jabatan Alam Sekitar di Putrajaya pada jam 9 pagi 20 April, dan masing-masing didenda RM800 kerana kesalahan itu.

Undang-undang tersebut memperuntukkan denda maksimum RM1,000, penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS