Pelawaan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, kepada supaya Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, untuk kembali kepada Umno - parti yang pernah menyingkirkannya suatu ketika dulu - adalah tindakan tidak bertanggungjawab.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Rais Hussin Mohamed Arif, berkata partinya itu sudah melalui pelbagai cabaran sejak ditubuhkan dan memenangi umum (PRU) ke-14.
Justeru, katanya, kenyataan Tajuddin agar ahli Bersatu kembali menyertai Umno bersama-sama Muhyiddin tidak wajar dibuat kerana tidak bertanggungjawab.
“Saya rasa biar Bersatu untuk Bersatu sahajalah, Umno kekal Umno,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Pada 3 Mei lalu Malaysiakini menyiarkan pandangan Tajuddin dalam wawancara dengan anggota Majlis Tertinggi Umno terbabit.
Menurut Tajuddin, wajar untuk Muhyiddin kembali menyertai Umno dan kekal menjadi perdana menteri mewakili parti berkenaan.
Dengan itu, katanya, kedua-dua parti tersebut tidak perlu lagi bersaing sesama sendiri pada PRU akan datang.
Cadangan Tajuddin dibuat ketika kedudukan Umno dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dipersoalkan ekoran kenyataan beberapa pemimpin parti yang memperlihatkan berlaku rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli dan pemimpin masing-masing.
Anggap pandangan peribadi saja
Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir, turut mengeluarkan kenyataan untuk menggesa Bersatu menarik diri daripada PN dan kembali bersama Pakatan Harapan (PH) sekali lagi.
Mukhriz berkata peluang terbaik Bersatu adalah bersama PH kerana parti itu perlu bersaing merebut sokongan pengundi Melayu, sama seperti Umno dan PAS pada pilihan raya umum akan datang.
Untuk rekod, Mukhriz tidak menyertai Muhyiddin dan sebahagian besar ahli parlimen Bersatu bekerjasama dengan Umno, PAS, MIC dan MCA untuk membentuk PN. Ia turut disokong Gabungan Parti Sarawak.
Bagaimanapun Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, menegaskan PN bukanlah gabungan yang berdaftar.
Baca Mat Hasan tolak pelantikan dalam GLC
Hari ini, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, berkata PH bersikap terbuka jika Bersatu berhasrat untuk menyertai gabungan itu semula. Bagaimanapun, ahli parlimen Port Dickson berkenaan mengingatkan Bersatu perlu patuh kepada agenda perubahan termasuk reformasi yang dipelopori PH.
Sementara itu Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang, menyifatkan cadangan Tajuddin itu sebagai pandangan peribadi. Namun beliau enggan mengulas lanjut kerana beranggapan ia akan mengeruhkan lagi keadaan partinya.
“Saya rasa itu adalah pandangan peribadi Tajudin sendiri. Saya juga tak nak beri komen lanjut kerana sekiranya saya beri pendapat nanti akan mengeruhkan lagi keadaan parti.
“Saya tengah cari titik persamaan semula supaya Bersatu dapat bersama semula,” katanya.
Bagi Marzuki Yahya, PH merupakan pasukan terbaik dan ia terbukti melalui kemenangan mereka pada PRU ke-14 lalu.
“Itu (PH) adalah pasukan terbaik kita tubuhkan sebelum PRU lalu dan kita dah buktikan melalui kemenangan 2018.
“Ini jalan yang terbaik supaya bersatu kembali ke PH untuk tangani masalah negara yang ditinggalkan BN,” katanya.
Jawatan Marzuki sebagai setiausaha agung Bersatu sedang dalam pertikaian.
Belau dipecat daripada jawatan itu oleh Presiden Muhyiddin Yassin. Pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata tindakan itu tidak sah.
Ditanya mengenai pendirian Mukhriz, Rais menambah, pendapat yang diutarakan anak pengerusi Bersatu itu mungkin berbeza daripada pemimpin lain.
Namun, katanya, hak untuk berbeza pendapat itu adalah sebahagian daripada amalan demokrasi.
“Pendapat Muhkriz berbeza dengan semua, Tun (Dr Mahathir Mohamad) ada pendapatnya, pemimpin Bersatu ada pendapat mereka. Pendapat berbeza itu satu demokrasi.
“Apa yang penting adalah pemimpin perlu fikirkan kelangsungan parti untuk menghadapi cabaran,” katanya lagi.
Seorang lagi anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Shahruddin Md Salleh, yang dihubungi pula enggan memberikan sebarang komen.
Malaysiakini juga cuba menghubungi beberapa pemimpin pusat Bersatu yang lain. Bagaimanapun kebanyakan mereka enggan memberikan reaksi mengenai isu berkenaan.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.