Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shafie: Sabah kekalkan PKP, keputusan k'jaan pusat perlu diteliti
Diterbitkan:  May 5, 2020 4:15 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Kerjaan negeri Sabah kekal dengan pendirian meneruskan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei ini, kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.

Jelasnya keputusan kerajaan persekutuan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dibuat tanpa berhubung kerajaan negeri terlebih dulu yang memerlukan persediaan dilakukan.

"Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan neegeri Sabah kekal dengan pendirian status quo untuk meneruskan pelaksanaan PKP sehingga 12 Mei ini.

"Pelaksanaan PKPB yang diumumkan perdana menteri itu masih perlu dikaji dan diteliti secara mendalam bersesuaian dengan keadaan di Sabah.

"Disebabkan kerajaan persekutuan memutuskan perkara itu tanpa berhubung dengan kerajaan negeri terlebih dahulu maka, kerajaan negeri memerlukan persediaan bagi melaksanakan PKPB tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKPB bermula semalam.

Pelaksanaan PKPB yang bermula semalam membolehkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi selepas sekian lama berhenti ekoran PKP.

Bagaimanapun beberapa negeri membuat keputusan untuk terus mengekalkan PKP meskipun PKPB mula berkuatkuasa semalam.

Antara negeri mahu mengekalkan pelaksanaan PKP antaranya, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, Selangor, Kedah dan Kelantan hari ini memaklumkan akan mula melaksanakan PKPB esok.

Dalam pada itu Shafie berkata, kerajaan persekutuan kena memahami keadaan persekitaran negeri sebelum membuat keputusan untuk melaksanakannya serta merta.

Katanya, kerajaan negeri perlu memberi keutamaan kepada aspek keselamatan nyawa manusia terlebih dulu sebelum membuka lebih banyak sektor ekonomi.

"Apa yang lebih penting adalah, kerajaan negeri perlu memberi keutamaan terhadap keselamatan nyawa manusia di peringkat negeri terlebih dahulu sebelum membuka lebih banyak sektor ekonomi.

"Saya harap keputusan ini membantu pihak industri dan pemilik perniagaan di negeri Sabah supaya dapat membuat persiapan lebih rapi sehingga 12 Mei nanti," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS