Satu pengkhiatan terhadap rakyat jika benar dakwaan sebuah syarikat mendapat kontrak bernilai RM30 juta "secara tidak layak" berkaitan pembelian prosedur pemerolehan kecemasan untuk menangani Covid-19, kata Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir.
Beliau berkata ini kerana ia berlaku di saat negara berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Kita menuntut agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menjalankan siasatan dengan telus dan penuh integriti serta tidak melindungi mana-mana individu dan mereka yang berkepentingan.
“Sekiranya dakwaan ini benar, ini merupakan satu pengkhianatan yang amat besar terhadap rakyat Malaysia dalam keadaan negara berdepan dengan wabak bencana Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini SPRM mengesahkan sedang menyiasat beberapa kontrak rundingan terus yang dianugerakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sumber yang dihubungi Malaysiakini berkata, fokus siasatan ialah terhadap proses melantik kontraktor untuk setiap pembelian di bawah prosedur pemerolehan kecemasan kerajaan.
Sumber itu bagaimanapun enggan mendedahkan secara khusus syarikat-syarikat yang sedang diteliti SPRM, kecuali mengesahkan ada "beberapa" yang sudah dipanggil bagi membantu siasatan mereka.
Baca: SPRM sahkan siasat kontrak pemerolehan diberi KKM
Untuk rekod, mengikut garis panduan kerajaan untuk pemerolehan kecemasan, sesebuah kementerian atau agensi dibenarkan membuat pembeliau atau melantik kontraktor bagi menjalankan sesuatu tugas tanpa perlu mengikut prosedur biasa.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba semalam mengeluarkan kenyataan bahawa KKM akan membantu siasatan SPRM bagi memastikan tiada sebarang penyelewengan dana awam berlaku.
Dalam pada itu, Akmal yang juga Anggota Parlimen Johor Bahru menyarankan menteri berkenaan tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan itu, sementara menunggu siasatan diselesaikan.
Antaranya seperti sama ada kontrak itu masih diteruskan atau tidak, adakah ia melibatkan ahli politik atau lantikan politik, kerugian yang mungkin ditanggung KKM serta kesannya terhadap usaha melawan wabak Covid-19.
“Pendedahan ini mengejutkan dan menimbulkan kekhuatiran terhadap persiapan kita, terutama keperluan untuk negara meningkatkan (ujian) saringan jangkitan manakala barisan hadapan sebelum ini berdepan dengan kekurangan Peralatan Perlindungan Diri (PPE),” katanya.