Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada dua peratus hari ini, kadar terendah dalam tempoh sedekad.
Menurut tinjauan Bloomberg, BNM akan mengurangkan OPR sehingga 50 mata asas (50 bps) bagi mengurangkan impak kepada ekonomi susulan pandemik Covid-19.
Ia susulan pengumuman kerajaan untuk membuka semula kebanyakan sektor ekonomi dan perniagaan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa semalam.
"BNM akan menurunkan OPR kepada dua peratus, tahap terendah sejak 2010, daripada 2.5 peratus, menurut 14 daripada 20 ahli ekonomi yang menyertai tinjauan Bloomberg.
"Ini akan menjadi pengurangan ketiga berturut-turut dan terbesar untuk lebih sedekad. Lima penganalisis melihat pengurangan 25 mata asas dan seorang lagi menjangka tiada perubahan," kata laporan itu.
Menurut The Edge Markets semalam, Standard Chartered menjangka bank pusat itu akan mengurangkan kadar faedah kepada 25 bps lagi pada Julai ini.
Awal bulan ini, BNM mengumumkan ia menjangka pembaikan bertahap terhadap pertumbuhan ekonomi negara untuk separuh kedua 2020, dipacu oleh OPR dan penerusan projek kemudahan berskala besar seperti Mass Rapid Transit 2 (MRT2) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).
Bagaimanapun Gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pertumbuhan ekonomi kekal menjadi cabaran di seluruh dunia untuk tahun ini.
Malaysia dalam usaha menggiatkan semula keadaan fiskal selepas perjalanan ekonomi terhenti ekoran penguatkuasaan PKP bagi membendung wabak Covid-19, yang setakat ini telah mengorbankan 105 nyawa di Malaysia.
Pada Mac dan April, kerajaan Perikatan Nasional mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM260 bilion bagi membantu rakyat dan perusahaan kecil dan sederhana menangani impak ekonomi yang diakibatkan pandemik itu.
Ia juga termasuk pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang diumumkan Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri sementara pada Februari lalu.