Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
8 peniaga warga Pakistan dikompaun KPDNHEP Kelantan

Lapan peniaga warga Pakistan di Kelantan dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri itu kerana melakukan pelbagai kesalahan semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menterinya, Rosol Wahid berkata kesemua lapan warga asing itu dikesan melakukan beberapa kesalahan sepanjang tempoh PKP fasa satu hingga empat, sejak 18 Mac lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, enam pemilik perniagaan dikenakan kompaun keseluruhan sebanyak RM6,000 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP2011) bagi kesalahan gagal mempamerkan tanda harga pada barangan jualan.

“Dua lagi peniaga masih dalam siasatan bagi kesalahan menjual gas cecair petroleum (LPG) atau gas memasak tanpa lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB1961) serta Akta Perlindungan Pengguna 1999 (APP1999) kerana kesalahan memberi gambaran harga mengelirukan pengguna,” menurutnya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Rosol berkata setakat ini, pemantauan dan pemeriksaan KPDNHEP Kelantan terhadap 10,557 premis perniagaan, termasuk pemborong, di negeri itu mendapati 21 daripadanya dimiliki warga asing.

“Namun kita percaya jumlahnya lebih banyak lagi. Justeru, penguatkuasa KPDNHEP akan terus mempergiatkan usaha memantau dan melakukan pemeriksaan secara berterusan demi menjaga kepentingan pengguna,” katanya.

Rosol berkata isu peniaga runcit dan borong warga asing bukan sahaja berlaku di Kelantan malah di seluruh negara dan penguatkuasa KPDNHEP sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membanteras kegiatan perniagaan yang menindas pengguna.

KPDNHEP tidak berkompromi terhadap peniaga yang cuba mengambil kesempatan sehingga menindas pengguna termasuk mengaut keuntungan berlebihan dan tidak munasabah dengan menjual barangan pada harga tinggi terutama ketika tempoh PKP, katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) mendakwa menerima hampir 300 aduan berhubung kenaikan harga barangan dapur yang dijual di kedai runcit yang diusahakan warga asing membabitkan warga Pakistan dan Indonesia di sekitar Kota Bharu, Kelantan.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS