Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan digesa struktur semula pinjaman kredit bas persiaran

Lebih 2,000 syarikat bas persiaran dari Lembah Klang hari ini menggesa kerajaan supaya menstrukturkan semula pinjaman ke atas bas persiaran dari syarikat-syarikat kredit kepada bank-bank milik kerajaan.

Ini kerana, menurut pengusaha bas persiaran, lebih 80 peratus syarikat pengusaha bas persiaran akan bankrap jika pinjaman bas persiaran mereka tidak distruktur semula dalam masa terdekat.

"Saya sarankan pihak kerajaan ambil pendekatan yang sangat drastik dengan memberi arahan kepada bank untuk menerima penstrukturan semula pinjaman dari syarikat-syarikat kredit kepada bank kepunyaan penuh kerajaan seperti SME Bank dan BSN dengan kadar faedah yang rendah untuk syarikat bas kembali bernafas.

"Ini sangat membantu syarikat-syarikat pengusaha bas untuk mengurangkan kos operasi minimal kepada 30 peratus," kata Wan Shairi Wan Ahmad kepada pemberita mewakili lebih 20 pemilik syarikat bas persiaran yang berkumpul di kawasan parkir Muzium Negara, di Kuala Lumpur petang tadi.

Terdahulu, mewakili lebih 2,000 pengusaha bas persiaran di Lembah Klang, mereka berkumpul di sana dalam usaha mencari perhatian kerajaan terhadap sektor pelancongan.

"Kita harus faham apakah kepentingan industri pelancongan kepada penumbuhan KDNK negara.

"Pada tahun 2018, sektor servis atau perkhidmatan memberi pulangan sebesar 52.96 peratus kepada negara dan industri pelancongan sendiri menyumbangkan 13.3 peratus dan membawa keuntungan kepada FDI sebanyak RM84.1 bilion.

Wan Shairi Wan Ahmad

"Pengangkutan adalah komponen kedua terpenting dalam sektor pelancongan inbound dan menyumbang 35% hingga 40% daripada jumlah RM84.1 bilion.

"Sebenarnya, masalah indutri pelancongan sudah berdepan dengan kesukaran beberapa tahun kebelakangan ini dan Covid-19 adalah 'wake up call' untuk semua," katanya.

Wan Shairi yang juga pemilik WSF Tour & Travel berkata bahawa buat masa ini arahan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung moratorium pinjaman tidak mendapat kerjasama oleh syarikat kredit.

"Setahu kami, hanya RHB memberikan pinjaman kepada bas persiaran, sebaliknya bank lain tidak mengambil risiko atas faktor "risk loan".

"Dan 95 peratus pengusaha bas bergantung kepada pinjaman daripada syarikat kredit," katanya.

"Kami bukan minta bantuan kewangan. Kami hanya nak penstrukturan semula pinjaman. Ini kerana kami nak jual bas ini tidak boleh. Syarikat kredit pula tidak memberi moratorium," tambahnya.

Tambah jangka hayat bas persiaran

Sementara itu, Abdul Aziz Ismail Gani, pemilik syarikat Dataran Pintar meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, (MOTAC) untuk memberi kelonggaran untuk menambah jangka hayat bas persiaran dari 12 tahun kepada 15 tahun.

"Buat masa ini bas persiaran diberi tempoh 12+1 tahun untuk beroperasi. Kami minta MOTAC untuk kaji semula kepada 15+3 tahun.

"Ini kerana kualiti bas yang dibina di Malaysia sudah diperakui oleh negara-negara lain dan jika kita melihat kualiti bas persiaran di jalan raya, walaupun sudah berumur 12 tahun masih utuh dan dalam keadaan bagus.

"Kelonggaran ini sedikit sebanyak membantu pengusaha bas untuk pulih daripada (kesan ekonomi) Covid-19," katanya.

Abdul Aziz Ismail Gani.

Berkongsi pandangannya, Abdul Aziz, pemilik syarikat Millenium Trans & Tours, Mohammed Ishak Jahbar Ali menegaskan bahawa kerajaan perlu mengawasi agensi-agensi syarikat yang tidak berlesen.

"Agensi-agensi pelancongan tidak berlesen terlalu banyak. Dengan hanya membuka syarikat atau Sdn Bhd secara menjual pakej dalam dan luar negara tanpa batas.

"Kami meminta jabatan-jabatan yang wajib harus turun padang memperbaiki masalah ini jika mahukan industri pelancongan kembali ke landasan asal.

"Saya sarankan pihak kementerian berkerjsama dengan persatuan-persatuan pelancong untuk membendung masalah ini," katanya.

Selain itu, mereka turut meminta kerajaan untuk menimbang semula cadangan bayaran bantuan 'one-off' kepada semua pemandu bas persiaran.

"Kita lihat di pakej rangsangan ekonomi pemandu Grab, pemandu teksi dan penarik beca diberikan bayaran bantuan 'one-off'. Kenapa pemandu bas persiaran tidak diambil kira?" soal pengusaha syarikat GLX Travel & Tours yang dikenali sebagai Guna.

Menurutnya, seperti pemandu kenderaan awam yang lain, pemandu bas persiaran turut terjejas teruk dalam krisis Covid-19.

"Kami harap kerajaan mengambil kira cadangan-cadangan kami dan membuat terbaik untuk memulihkan sektor pelancongan yang dijangka akan terus merudum sehingga akhir tahun ini," kata beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS