mk-logo
Berita
NUJ, IFJ kecam siasatan polis terhadap wartawan
Diterbitkan:  May 4, 2020 8:08 PM
Dikemaskini: 12:09 PM

Dua kesatuan wartawan, tempatan dan antarabangsa sama-sama mengecam siasatan polis terhadap seorang wartawan South China Morning Post mengenai laporan serbuan terhadap pendatang tanpa izin.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) dan sekutunya Kesatuan Wartawan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUJM) menggesa pihak berkuasa untuk menghentikan siasatan itu.

"Siasatan terhadap wartawan Tashny Sukumaran, atas laporannya yang tepat mengenai serbuan di tengah-tengah Covid-19, jelas bertentangan dengan komitmen kerajaan terhadap kebebasan akhbar.

"Kerajaan perlu memastikan kebebasan akhbar dan pelaporan yang adil dalam membuat liputan kes-kes yang melibatkan warganya dan mengesahkan sokongannya terhadap hak masyarakat untuk mengetahui, terutama ketika wabak ini," kata NUJM.

IFJ, kesatuan wartawan terbesar di dunia yang mewakili lebih daripada 600,000 anggota, menyifatkan siasatan polis itu sebagai pelanggaran jelas terhadap kebebasan akhbar.

“IFJ mengecam siasatan terhadap seorang wartawan yang melakukan pekerjaan luar biasa dalam berkhidmat kepada masyarakat dengan laporan yang benar dan tepat.

"Ini jelas suatu pelanggaran terhadap kebebasan media, kerana wartawan perlu dapat bekerja tanpa rasa takut terhadap gangguan atau intimidasi. IFJ menuntut polis menggugurkan kes ini dengan segera," kata IFJ.

Polis sedang menyiasat Tashny di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan tuduhan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Pada suatu kenyataan semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata beliau telah mengarahkan SKMM untuk tidak mengambil tindakan ke atas artikel SCMP itu.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed, berkata PDRM boleh mengambil tindakan sendiri untuk meneruskan siasatan dalam kes berkenaan.

Jelasnya, polis akan meneruskan siasatan berhubung artikel disiarkan SCMP tentang serbuan terhadap pendatang asing di kawasan sekitar Majid India pada 1 Mei lalu.

[Baca berita asal]

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS