Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganggur didenda RM2,500 ingkar PKP ceroboh surau

Seorang penganggur didenda RM2,500 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di Kuala Lumpur hari ini kerana menceroboh masuk kawasan surau dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Norazman Ruslan, 30, selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan menceroboh masuk kawasan surau dia didenda RM1,500 atau penjara tiga bulan manakala denda RM1,000 atau penjara tiga bulan kerana melanggar PKP.

Tertuduh didakwa menceroboh masuk dalam kawasan Surau Ar-Rahmaniah, Jalan Batu 7 Gombak, Gombak di Kuala Lumpur pada 3.50 petang, 27 April lepas mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Dia juga mengaku bersalah dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa sebarang alasan munasabah pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

'Cari tempat teduh hujan'

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan serupa yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon hukuman setimpal kerana tertuduh telah ingkar PKP dengan menceroboh masuk dalam kawasan surau yang pagarnya telah berkunci dan berada di tepi tangga tempat solat wanita.

Peguam Ammanjet Singh yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum bagi kedua-dua pertuduhan itu kerana anak guamnya telah insaf.

Ditanya Majistret Nik Mohd Fadli mengapa dia memasuki kawasan surau tersebut, Mohd Norazman berkata dia hanya mencari tempat berteduh kerana hujan pada ketika itu sementara menunggu kawannya.

Di mahkamah sama, 11 individu termasuk tiga wanita berusia antara 47 hingga 67 tahun masing-masing didenda maksimum RM1,000 atau penjara tiga bulan selepas mereka mengaku bersalah berhimpun bagi maksud sosial dengan bermain mahjong di sebuah rumah di Selayang Utama, Gombak di Kuala Lumpur pada 3.15 petang, 22 April lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah memohon hukuman setimpal. Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum kerana mereka telah insaf.

- Bernama 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS