Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pimpinan PH, Bersatu, Warisan gesa sidang penuh parlimen 14 hari
Diterbitkan:  May 4, 2020 4:53 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Anggota parlimen Pakatan Harapan, Bersatu dan Warisan hari ini menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan sidang penuh Dewan Rakyat pada 18 Mei akan datang.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal, Presiden PKR Anwar Ibrahim,

Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam suatu kenyataan bersama berkata tiada alasan untuk kerajaan menghadkan sidang parlimen hanya satu hari sahaja.

"Memandangkan parlimen telah memutuskan SOP bagi membolehkan persidangan pada 18 Mei diadakan, dan memandangkan banyak aktiviti sudah mula dibenarkan bersyarat, maka sebenarnya tiada alasan atau halangan bagi parlimen untuk bersidang penuh lebih dari sehari yang telah diumumkan.

"Persidangan yang lebih panjang akan membolehkan perbahasan isu yang lebih mendalam, serta membolehkan ahli-ahli jemaah menteri melaksana agenda legislatif Kementerian masing-masing.

"Oleh yang demikian, kami menggesa kerajaan untuk segera melaksana sidang parlimen penuh dengan menambah jumlah hari persidangan ke sekurang-kurangnya dua minggu," kata pimpinan pembangkang.

Setiausaha Dewan Rakyat pada 17 April lalu mengeluarkan notis kepada semua anggota parlimen mengenai sidang yang akan diadakan pada 18 Mei ini.

Bagaimanapun berbeza daripada biasa, sidang tersebut hanya berlangsung selama sehari. Ia juga hanya akan membincangkan rang undang-undang dan usul urusan kerajaan saja.

Tiada sesi pertanyaan lisan, pertanyaan bertulis, usul atau kamar khas akan diadakan.

Ahli parlimen PH sebelum ini dengan mengambil kira pelaksanaan PKP, mendesak agar sidang tersebut diadakan lebih lama, termasuk menggunakan kaedah dalam talian.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, menganggap cadangan itu bersifat pramatang, sempit dan gagal memahami keutamaan yang dihadapi oleh kerajaan ketika ini.

Sebaliknya, kata setiausaha agung PAS itu, dalam konteks sidang pada 18 Mei ini, bagi kerajaan isu paling utama ialah keselamatan semua pihak yang terlibat dalam urusan persidangan.

Seorang lagi menteri di Jabatan Perdana Menteri - yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi - Mustapa Mohamed pula berkata isu infrastruktur perlu diperbaiki terlebih dulu sebelum kaedah sidang secara maya diadakan. 

Terdahulu, bekas perdana menteri Dr Mahathir menyatakan akan duduk di blok pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat bersambung semula.

Ini juga adalah kali pertama anggota dari parti yang sama tetapi duduk di kedua-dua blok yang bertentangan.

Mahathir menjelaskan bahawa Bersatu - dengan dirinya sebagai pengerusi - kini terbelah dua.

"Jadi, pihak yang menentang kerajaan tidak boleh duduk bersama dengan pihak kerajaaan.

"Jadi, ia harus duduk di kalangan pembangkang bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) tetapi bukan sebagai anggota Pakatan," katanya.

Pada 24 Februari lalu, Bersatu menarik diri dari PH sementara Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri yang membawa kepada kejatuhan kerajaan persekutuan PH yang dibentuk selepas pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018.

Kerajaan PN hasil ikatan kerjasama antara BN, PAS, Bersatu, GPS dan bekas MP PKR yang berpaling tadah.

Pada 1 Mac, Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan selepas majoriti MP parti pimpinannya Bersatu membuat gabungan baru bersama BN, PAS, dan GPS dikenali sebagai Perikatan Nasional.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS