Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selepas 21 hari PKPD, Masjid India kini ‘bebas’
Diterbitkan:  May 4, 2020 3:39 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Setelah 21 hari diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kawasan perniagaan Masjid India kini ‘bebas’ dan dibenarkan beroperasi semula hari ini.

Tiada lagi kelihatan anggota polis dan tentera yang mengawal serta kawat berduri yang memagari kawasan seluas satu kilometer seperti 14 April lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata pagar itu telah diturunkan pada 5 petang semalam memandangkan tempoh PKPD di kawasan itu telah ditamatkan.

"Aktiviti perniagaan juga telah dibenarkan di sekitar Masjid India tetapi hendaklah mengikut syarat-syarat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sepanjang PKPD dilaksanakan, kadar pematuhan penduduk di Masjid India berada pada tahap 100 peratus, tiada cubaan melarikan diri direkodkan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 1 Mei, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai hari ini, tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama di sekitar Masjid India yang merupakan pusat tumpuan masyarakat untuk membeli-belah mendapati hanya sebilangan kedai sahaja yang dibuka.

Ia berkemungkinan peniaga masih skeptikal dengan keadaan persekitaran Masjid India memandangkan kawasan itu mencatatkan 242 kes individu positif Covid-19 sehingga semalam.

Jumlah itu melibatkan penghuni tiga kawasan kediaman iaitu Menara Plaza City One, Selangor Mansion dan Malayan Mansion yang rata-ratanya adalah warga asing.

Bagi pengusaha restoran, B Saravanan, 47, dia berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan peniagaan dibuka kembali, namun masih ragu-ragu dengan tahap kesihatan pelanggan.

“Tetapi, yang saya bimbang ialah kesihatan para pelanggan... walaupun pemeriksaan suhu dilakukan tetapi ia belum tentu membuktikan mereka bebas daripada virus itu,” katanya.

Perdana Menteri ketika mengumumkan PKPB membenarkan restoran beroperasi dengan mematuhi SOP perniagaan iaitu penjarakan sosial, mencatat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh kehadiran mereka.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS