Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banyak kedai masih tutup, yang buka harap tuah Aidilfitri

Hari ini adalah hari pertama perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang memberi kebenaran hampir semua sektor ekonomi kembali beroperasi.

Namun nampaknya bukan semua perusahaan berani untuk kembali membuka pintu kedai.

Berdasarkan tinjauan di Sungai Besi, banyak kedai masih tutup. Di Lake Field contohnya, dianggarkan hanya kira-kira 35 peratus sahaja kedai kembali beroperasi, daripada beberapa deretan bangunan lot kedai di situ.

Ketika dikunjungi Malaysiakini, beberapa lot kedai yang buka hari ini memberitahu, meskipun mereka sendiri masih tidak pasti bagaimana prestasi perniagaan setelah hampir dua bulan menutup operasi, perniagaan tetap harus terus berjalan.

Bagi Yusof Abas, 60, pembantu di sebuah kedai menjual pakaian muslimah dan kelengkapan haji memberitahu, dalam keadaan sewa yang tak mendapat pengurangan langsung, mereka mengambil keputusan untuk membuka kedai setiap hari bermula hari ini.

Yusof yang merupakan ayah kepada pemilik kedai berkenaan memberitahu, buat masa ini, mereka membuka kedai dengan bergantung harap kepada tuah Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Sebab hari raya ni, rasanya mungkin ada juga sambutan. Kalau tak raya saya pun tak tahulah. Nak raya ni, walaupun orang tak ke mana-mana (kerana PKP), tapi insya-Allah, harapnya dia beli juga sikit-sikit,” katanya ketika ditemui.

Ketika ditanya tentang jumlah pelanggan yang telah singgah di kedainya sejak hampir sejam setengah kedainya dibuka, dia hanya menunjukkan ke arah dua pelanggan yang sedang memilih pakaian di kedai.

“Itulah dua orang,” katanya yang sedang berdiri di depan kedai menunggu pelanggan.

Tiada pilihan

Bagi pemilik kedai aksesori telefon, Lee Swee Cheung, 46, secara terus-terang berkongsi, dia tidak tahu apa yang hendak dijangkakan tentang perniagannya- apakah ia akan kembali menerima pelanggan seperti sebelum PKP, atau sebaliknya.

“Tak tahulah macam mana. Kena tengok dululah macam mana. Sekarang ini, ekonomi Malaysia pun bukan baik sangat.

“Mungkin tengok lagi seminggu. Hari ini baru mula, tak boleh nak jangka lagi macam mana. Belum tahu. Tak boleh nak jangka,” katanya.

Bagaimanapun, kata Lee, dia berasakan agak sukar untuk perniagaannya kembali pulih dalam beberapa waktu setelah menerima kesan daripada Covid-19 yang melanda negara, seperti banyak perniagaan lain yang turut terjejas.

Buat masa ini, katanya, dia tiada pilihan lain selain membuka kedainya, lebih-lebih lagi menurutnya, dia perlu melunaskan sewa kedainya yang menurutnya agak tinggi.

Pun begitu, untuk beberapa kedai, PKPB ibarat hari yang ditunggu-tunggu, dan mereka memaklumkan perniagaan mereka juga agak baik pada hari pertama membuka operasi sejak 18 Mac lalu.

Lee Swee Cheung.

Dengan rasa teruja, pemilik kedai cermin mata, Dennis Wong, 38, berkongsi kepada Malaysiakini, pelanggannya hari ini lebih ramai daripada hari-hari biasa sebelum PKP dikuatkuasakan, setelah tiga jam membuka kedai.

“Memang banyak kecemasan (untuk mendapatkan cermin mata). Ini (perusahaan optik) sepatutnya di bawah sektor kesihatan juga, tetapi kerajaan tak bagi buka (semasa PKP), sedangkan, kalau orang tak pakai cermin mata, macam buta.

“Hari ini sudah lapan orang sejak buka kedai. Biasanya (sebelum PKP), tak banyak, satu hari empat ke lima orang pelanggan saja,” katanya.

Tak ambil ringan langkah pencegahan

Kata Wong, dia tidak mengambil ringan soal pencegahan jangkitan di kedainya, maka setiap cermin mata yang disentuh dan dicuba oleh pelanggan, akan dimasukkan ke dalam satu bakul, sebelum direndam dalam bahan kimia untuk dinyah cemar.

Malah, dia berharap semua kedai akan patuh prosedur operasi standard (SOP) yang dikemukakan kerajaan, kerana bagi pengusaha kedai cermin mata sepertinya, kata Wong, perkara yang paling dirisaukan adalah terpaksa menempuh tempoh PKP sekali lagi dan terpaksa menutup kedai semula.

Bagaimanapun, meskipun hari pertama perniagannya agak baik, dia tetap realistik dan menjangkakan kemerosotan jualan sehingga 40 peratus untuk beberapa waktu yang akan datang.

“Sekarang (hari ini) memang agak naik, kerana semua kecemasan kan. Esok lusa?” soalnya sambil ketawa.

Perkara sama dikongsikan pengusaha kedai aksesori badan beruniform, Aishah Zambiri, 46, yang juga baru membuka semula kedainya di pekan Sungai Besi hari ini.

Aishah Zambiri.

Katanya, meskipun menjangkakan pemulihan perniagaan yang perlahan, dia tetap yakin keadaan akan semakin baik untuk kedainya, memandangkan bahan yang dijual sememangnya menjadi keperluan yang sentiasa dicari oleh petugas badan beruniform.

“Alhamdulillah, kedai dah buka. Jadi bolehlah cari rezeki sikit-sikit. Lagi pula semua kedai aksesori lain tutup, jadi mereka (petugas beruniform) serbulah sini untuk mencari alatan keperluan mereka,” katanya.

Ketika ditemu bual pun, tiga orang anggota polis dapat dilihat masuk ke kedai untuk membeli beret dan pin.

Dia menyatakan kerisauan kekurangan bekalan keranan syarikat pembekalnya kebanyakan terletak di kawasan sekitar Masjid India, yang sebelum ini diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Jadi, katanya, jadi dia hanya boleh bergantung pada stok sedia ada saja buat masa ini.

Untuk rekod, dalam perkembangan terbaru hari ini, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa PKPD di kawasan sekitar Masjid India sudah ditamatkan sejak semalam.

Kebanyakan PKPD di kawasan lain juga ditamatkan hari ini. Bagaimanapun, beberapa PKPD di kawasan tertentu di Selayang dilanjutkan sehingga 12 Mei.

Patuh SOP

Kesemua mereka yang ditemu bual mengakui telah melakukan beberapa SOP penting seperti menyahcemar kedai masing-masing- rata-ratanya dilakukan sendiri, dan ada yang mendapat nasihat langsung daripada bomba tentang kaedah nyah cemar yang tepat.

Sementera itu, beberapa kedai yang memang dibenarkan beroperasi sepanjang PKP pula memberitahu, mereka tidak berasa apa-apa perubahan ketara dari segi jumlah pelanggan, meskipun orang ramai sudah dibenarkan kembali bekerja semula hari ini.

Ada yang memberitahu bilangan pelanggan masih sama dengan hari-hari sebelum ini.

Malah, seorang pekedai runcit, Baharudin, 53, memberitahu, hari ini, pelanggan bahkan semakin berkurang kerana mereka bergerak ke tempat kerja lebih awal daripada waktu dia membuka kedai, kira-kira jam 8.30 pagi.

Bagaimanapun, kata Baharudin, dia tidak bercadang membuka kedai lebih awal, memandangkan sekarang adalah bulan puasa, dan dia tidak mahu menggangu waktu bersahur dan berbukanya.

Katanya, perniagannya agak baik sepanjang musim PKP memandangkan pelanggan yang tidak sanggup beratur di pasar raya akan beralih singgah ke kedainya bagi memberi barang-barang runcit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS