Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada lagi larangan pergerakan 'radius 10km' - Ismail Sabri
Diterbitkan:  May 4, 2020 3:30 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakub berkata, peraturan melarang orang ramai untuk bergerak melebihi radius 10 kilometer dari kediaman mereka di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak lagi terpakai.

Namun, katanya, pergerakan namun rentas negeri masih belum dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa hari ini.

"Tidak ada lagi radius 10 kilometer dalam peraturan PKPB. Tidak ada lagi.

“Bagaimanapun, rentas negeri masih dalam senarai yang dilarang. Masih belum dibenarkan dalam PKPB ini," katanya pada sidang medianya di Putrajaya hari ini.

Pada sidang media itu, Ismail Sabri juga mengumumkan peraturan-peraturan di bawah PKP fasa empat (PKP4) sebelum ini terbatal dengan bermulanya PKPB hari ini yang juga disebut sebagai PKP fasa lima (PKP5).

Justeru itu, katanya semua pihak perlu mematuhi peraturan di bawah PKP5.

"Jika ada pihak tertentu yang masih mahu mengikut peraturan PKP4, ia adalah salah, kerana ia telah pun diganti dengan peraturan baharu PKP5.

"Sekarang semua negeri tertakluk pada PKP5, saya harap mereka (di peringkat negeri) sedar perkara ini, perlu patuh kepada PKP5 ini," katanya.

Pelaksanaan PKPB atau PKP5 yang bermula hari ini menyaksikan hampir kesemua sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

PKPB juga membolehkan empat individu serumah dan sekeluarga dalam satu kenderaan untuk keluar bagi tujuan keperluan penting berbanding hanya dua orang dalam PKP4.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tetap terpakai dalam PKP5 dan hukuman kepada yang ingkar akan tetap dikenakan seperti PKP sebelumnya.

"Akta tetap sama. Hukuman kepada yang ingkar ialah kompaun tak lebih RM1,000, penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali dan perniagaan yang tidak mengikuti SOP yang ditetapkan, premis mereka boleh ditutup," katanya.

Ismail Sabri berkata orang ramai yang nampak dengan jelas pengingkaran pematuhan prosedur operasi standard di bawah PKPB boleh membuat laporan di balai polis berdekatan dan pejabat pihak berkuasa tempatan seperti majlis daerah, majlis perbandaran dan lain-lain.

Jelasnya cara lain untuk membuat aduan ialah melalui hotline Majlis Keselamatan Negara (MKN) di nombor 03-88882010 ataupun melalui myGCC 03-80008000 yang beroperasi 24 jam.

“Jika aduan yang ingin disampaikan ialah mengenai kementerian tertentu, boleh terus laporkan kepada kementerian-kementerian yang berkaitan,” katanya lagi.

Ismail Sabri menambah beliau percaya ramai yang akan membantu kerajaan dalam memastikan semua pihak mengutamakan pematuhan SOP.

”Kalau boleh ambil gambar. Kalau ambil video lagi bagus. Lebih terbukti apa yang dilaporkan. Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu kerajaan memastikan pematuhan SOP di bawah PKPB,” katanya.

Mengulas mengenai jadual pergerakan rentas negeri dari kampung halaman bermula Khamis hingga Ahad ini, katanya mana-mana individu yang terlepas pada tempoh tarikh yang ditetapkan itu perlu melaporkan atau mendapat kebenaran daripada pihak polis untuk pergerakan mereka.

“Sebelum ini sudah ada yang merentas negeri perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak polis.

“Selepas daripada tarikh yang ditetapkan itu, bergantung kepada pihak polis untuk membenarkan pergerakan.

“Kami telah memberi pengecualian selama empat hari itu, jadi seboleh-bolehnya gunakanlah tempoh empat hari itu untuk kembali ke tempat kerja ataupun sebaliknya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata semalam Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia telah menahan 401 individu ingkar PKP yang merangkumi 331 individu direman dan 70 individu dijamin polis.

Katanya jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP setakat semalam adalah seramai 24,081 individu.

Tambahnya, setakat hari ini, sebanyak 244 pusat kuarantin telah beroperasi di mana 18,218 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib dan semalam seramai 265 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS