Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lantikan GLC bukti PN sepakat, kata Pemuda Umno Johor
Diterbitkan:  May 4, 2020 2:10 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Pemuda Umno Johor menegaskan betapa pengisian jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berlaku sekarang menjadi bukti kesepakatan parti gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah, berkata umum mengetahui kerajaan PN sudah mengumumkan pelantikan beberapa nama wakil rakyat dan pimpinan parti politik dalam gabungan itu sebagai pengerusi di GLC.

Namun katanya, pembangkang khususnya Amanah dan DAP berterusan memainkan sentimen kononnya PN akan berpecah kerana tiada kesepakatan.

"Menerusi lantikan yang dibuat itu, ia membuktikan bahawa sentimen yang dimainkan pembangkang hanyalah modal politik kotor mereka.

"Sebaliknya, PN membuktikan bahawa kesepakatan dalam gabungan itu tetap utuh," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, bekas menteri besar Johor, Mohamed Khaled Nordin dilantik sebagai pengerusi bukan bebas dan bukan eksekutif Boustead Holdings Bhd (Boustead) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas dari Bersatu, Che Zakaria Mohd Salleh yang dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (Kejora).

Bagaimanapun untuk rekod, isu pelantikan ke jawatan agensi kerajaan dan GLC juga mendorong Bersatu Johor mengeluarkan kenyataan bagi membangkitkan pengagihan tersebut.

Mampu galas tugas dengan baik

Khaled pula mengakui kerjasama PN di Johor rapuh dan menolak tanggapan bahawa pelantikan jawatan ke GLC dapat menjadi penyelesaiannya.

Khaled yang juga naib presiden Umno berkata, PN hanya akan kukuh dan berfungsi dengan baik di Johor jika ia mampu menawarkan strategi yang baik bagi merealisasikan potensi negeri itu.

"PN di Johor akan kekal selagi keduanya berkehendak untuk mengekalkannya... Tetapi mengukuhkan PN dengan ‘political rewards’ melalui pelantikan dalam GLC dan pelbagai lagi, bukanlah jalannya.

"PN tidak ditubuhkan dengan mandat rakyat. Ia mesti mengetepikan segala kepentingan lain kecuali kepentingan rakyat. Jawatan, gelaran dan habuan bukan matlamat PN ditubuhkan. Matlamatnya ialah menyelamatkan negara," katanya pada 29 April lalu. 

Mohd Hairi berkata peranan mereka yang dilantik itu adalah mewakili rakyat bagi memantau perjalanan sesuatu GLC dan diharap tanggungjawab itu dilaksana dengan baik.

"Pemuda Umno Johor yakin dua pemimpin itu mampu menggalas tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan baik.

"Kami juga yakin rakyat tidak lupa janji Pakatan Harapan (PH) yang tidak akan membuat lantikan politik selepas mereka berkuasa.

"Tetapi, selepas menang PRU14 lalu, janji berkenaan hanya omong kosong semata-mata apabila berderet-deret pimpinan PH dilantik," katanya sambil membidas sikap pimpinan PH yang mempersoalkan pentadbiran PN yang membuat lantikan politik bagi mengetuai GLC. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS