Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Prosiding mahkamah disambung secara berperingkat mulai 13 Mei
Diterbitkan:  May 4, 2020 11:15 AM
Dikemaskini: 3:15 AM

Prosiding mahkamah terbuka di seluruh negara akan disambung secara berperingkat mulai 13 Mei, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan malam semalam.

“Kes yang telah ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Terbuka akan bermula secara berperingkat mulai 13 Mei 2020.

“Satu garis panduan pengendalian kes dan tatacara pengendalian piawai pencegahan wabak Covid-19 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikeluarkan.

“Mahkamah akan memastikan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa dipatuhi sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 dalam menjalankan operasi Mahkamah.

“Semua pihak yang berurusan dengan mahkamah adalah dimohon untuk mematuhi arahan dan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah, MKN dan KKM,” katanya.

Menurut Tengku Maimun, bermula hari ini, perkhidmatan mahkamah yang akan mula beroperasi adalah:

• pejabat pendaftaran;

• kaunter setempat;

• kaunter pesuruhjaya sumpah;

• kaunter surat kuasa wakil;

• kaunter biro perkhidmatan e-filing; dan

• Bahagian pengurusan dan kewangan di semua pusat tanggungjawab dan pusat kos.

Katanya, ini sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu, serta surat bertarikh 2 Mei yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Khairul Adib Abd Rahman mengenai operasi jabatan-jabatan kerajaan semasa pelaksanaan PKPB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS