Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKPB: Patuh garis panduan atau kekal saja di rumah, pesan Dr Noor Hisham

Anda boleh patuh garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) atau kekal saja di rumah, menurut Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan memberi kata dua itu kepada orang awam agar patuh kepada perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa esok.

Beliau berkata, pelonggaran kawalan pergerakan memerlukan kerjasama orang ramai, selain usaha yang dijalankan kerajaan dan KKM untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Perlu kerjasama bersepadu antara kerajaan, KKM dan rakyat. Sama-sama kita pastikan patuh kepada SOP yang ditetapkan KKM.

"Atau (jika tak boleh berbuat demikian) duduk di rumah untuk putuskan rantaian jangkitan Covid-19," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata demikian ketika diminta memberi pandangan berkenaan sama ada rakyat Malaysia mempunyai tahap disiplin sosial yang memadai untuk mematuhi peraturan dan garis panduan apabila PKPB bermula esok.

Katanya lagi, tanggapan sesetengah pihak bahawa kerajaan telah menamatkan PKP adalan tidak betul.

Menurutnya, peruntukan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 masih berkuat kuasa ketika PKPB.

"PKP masih ada dan kita hanya beri kelonggaran dengan mengguna pakai kriteria yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk tamatkan PKP," katanya lagi.

Bermula esok, kebanyakan perniagaan dan kegiatan sosial dibenarkan berjalan semula tetapi perlu mematuhi garis panduan yang dikeluarkan.

Bagaimanapun sebarang kegiatan atau perniagaan yang membawa kepada perhimpunan, sentuhan badan dan kesukaran mengamalkan penjarakan sosial masih dilarang.


Senarai penuh kegiatan yang tidak dibenarkan ketika PKPB

Garis panduan MKN untuk pembukaan semula perniagaan

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS