Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Di tengah rasa tak puas hati dalam Bersatu, apa rancangan PH?

Rasa tidak puas hati dalam Bersatu dilihat merebak keluar daripada parti itu, dengan bekas rakan-rakannya dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) juga menyedari isu berkenaan.

Ketua DAP Johor Liew Chin Tong mengakui beliau juga ada mendengar rungutan daripada rakan-rakan dalam Bersatu.

"Kami faham bahawa ramai pemimpin Bersatu dan ahli-ahlinya sangat kecewa dengan tindakan (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin menarik diri daripada PH untuk menjadi perdana menteri, mengkhianati mandat rakyat dan meninggalkan Bersatu dalam ketidakpastian, terutamanya di Johor.

"Ramai pemimpin Bersatu dan ahlinya memberitahu kita bahawa mereka tidak bersetuju dengan tindakan Muhyiddin," katanya kepada Malaysiakini.

Liew berkata beliau memberitahu mereka untuk menzahirkan rasa tidak puas hati berkenaan.

"Apabila mereka bercakap dengan saya, saya beritahu mereka bahawa mereka perlu menyatakan kepada umum bahawa mereka tidak bersetuju dengan Perikatan Nasional (PN) dan menyatakan sokongan kepada PH," katanya.

Kelmarin, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mencadangkan Bersatu menyertai semula PH, terutamanya di Johor.

Cadangan itu hadir tengah-tengah rungutan bahawa Bersatu menerima tekanan  Umno dalam kerajaan PN.

Apabila PN mengambil alih kerajaan negeri, Hasni Mohammad daripada Umno menggantikan Sahruddin Jamal daripada Bersatu sebagai menteri besar Johor.

PN hanya memiliki majoriti dua kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Bagaimanapun, sesetengah pemimpin dalam PKR tidak sependapat dengan Salahuddin.

Ditanya jika Liew berkongsi pandangan Salahuddin, beliau berkata: "Jika mereka (Bersatu) secara terbuka menyatakan sokongan untuk PH dan 'menyeberangi' Parlimen dan DUN untuk menyokong PH, adakah kita mengatakan 'tidak' kepada mereka?"

"Adakah kita masih kata 'kami tidak mahu kamu kerana Muhyiddin mengkhianati kami? 

"Selepas mereka menyingkirkan Muhyiddin untuk menyeberangi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, jika kita masih mengatakan tidak kepada mereka, tidakkah itu kedengaran tidak masuk akal?" tambah beliau.

Terdahulu hari ini, Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir, yang tidak sehaluan dengan Muhyiddin, juga menggesa parti itu kembali ke pangkuan PH.

Bersatu kini sedang berpecah antara kumpulan penyokong Muhyiddin, dan kumpulan yang menyokong pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan PH tumbang pada Februari lalu selepas Muhyiddin membuat keputusan mengeluarkan Bersatu daripada PH dan bergabung dengan sekumpulan anggota parlimen dari PKR yang diketuai bekas timbalan presidennya, Azmin Ali.

Bersama-sama dengan pembangkang, mereka membentuk kerajaan PN yang baru.

Mahathir menyatakan beliau merancang untuk melepaskan kawalan terhadap parti itu pada pemiihan Bersatu akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS