Paling Popular
Terkini

ULASAN | Kebelakangan ini beberapa pemimpin Umno di peringkat nasional dan negeri telah membuat kenyataan mengenai Bersatu, dan kerjasama politik antara Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional.

Saya percaya ramai ahli-ahli Bersatu dan Umno telah membaca kenyataan-kenyataan itu, serta kenyataan balas yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin Bersatu dan PH dari peringkat negeri.

Jelas daripada pendirian yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad bin Hasan, Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin dan beberapa orang lagi, Perikatan Nasional (PN) sebenarnya tidak wujud. Tidak ada sebarang perjanjian antara Umno, PAS dan BN bersama Bersatu untuk bergabung secara rasmi bagi menubuhkan kerajaan PN.

Angkuh dan sombong - itulah yang boleh dirumuskan mengenai sikap pemimpin Umno terhadap Bersatu yang tidak menggambarkan kesepakatan yang telah menyebabkan kejatuhan Kerajaan PH dan penubuhan kerajaan baru yang digelar PN di peringkat persekutuan dan juga beberapa negeri.

Sebaliknya semasa kerajaan dikuasai PH, kerjasama yang terjalin antara Bersatu dengan parti-parti komponen PH, iaitu PKR, DAP dan Amanah bersama Parti Warisan Sabah dizahirkan dari keakraban sewaktu berganding bahu melawan Kerajaan kleptokrasi BN. Dan Kerajaan BN itu sudah lebih 60 tahun bertapak.

Pengalaman bekerja secara rapat dalam keadaan yang sangat mencabar sebelum dan semasa kempen PRU14 melahirkan hubungan silaturahim yang seikhlasnya erat di kalangan anggota PH dan Warisan ketika itu.

Saya terpanggil untuk mengajukan beberapa soalan kepada kepimpinan Umno. Soalan-soalan ini juga saya tujukan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, sekaligus memberikan peluang kepada Tan Sri untuk menjelaskan kenapa begitu banyak janji beliau kepada Bersatu tidak menjadi kenyataan.

Janji-janji yang dimaksudkan adalah yang telah beliau kemukakan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan ahli-ahli Parlimen Bersatu sebagai asas kenapa Bersatu perlu segera tinggalkan PH dan menyertai perikatan baru dengan Umno dan PAS yang bergabung menerusi Muafakat Nasional.

Soalan-soalan ini juga berlegar dalam benak fikiran setiap ahli Bersatu. Jika tidak dijawab, ia akan menyebabkan kekeliruan dan kesangsian yang amat memilukan.

Ramai ahli-ahli Bersatu ingin tahu adakah benar kerjasama politik yang wujud antara Muafakat Nasional dan Bersatu hanya dapat bertahan sehingga Dewan Rakyat dibubar? Tidakkah Bersatu berhak untuk berunding agihan kerusi dengan Umno dan PAS menjelang PRU15 nanti? Memandangkan kerajaan sekarang dianggotai oleh ketiga-tiga parti politik ini, tidakkah pelik bahawa MN akan berlawan dengan Bersatu pada pilihan raya nanti?

Semua sedia maklum bahawa ketiga-tiga parti politik ini mewakili masyarakat Melayu dan Islam. Justeru tapak politik mereka adalah sama - iaitu orang Melayu khususnya di luar bandar.

Maka sudah tentu Bersatu, Umno dan PAS berhasrat untuk bertanding di kawasan demografi tersebut. Sememangnya tiga parti ini telah bertembung di kawasan-kawasan sama pada PRU14.

Oleh itu, apakah peluang Bersatu untuk menang kerusi-kerusi yang ditandingi jika ia akan berdepan dengan Umno atau PAS dalam keadaan tiada kesepakatan antara mereka? Jika Bersatu sebenarnya tidak bersama MN dan tidak juga bersama PH, apa logiknya Bersatu boleh menang di mana-mana kawasan sekalipun? Adakah Bersatu berupaya mempertahankan semua kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang dimenanginya pada PRU lalu?

Dalam jemaah menteri lantikan perdana menteri sekarang, memang ada wakil-wakil dari Bersatu. Ada juga yang dilantik sebagai menteri kanan dan juga barisan timbalan Menteri. Apakah nasib mereka setelah bubarnya Dewan Rakyat? Adakah mereka akan bertanding di kawasan masing-masing sambil terpaksa berlawan dengan MN?

Contohnya di Parlimen Ketereh, ahli Parlimennya dari Umno dan dilantik menjadi menteri manakala Ketua Bahagian Bersatu yang kalah kepada menteri Umno itu pada PRU14 dilantik menjadi senator ketika pentadbiran PH dan kini menjadi menteri kanan. Siapakah yang akan dipilih sebagai calon di kerusi itu pada pilihan raya nanti? Atau mereka berdua harus berentap merebut kerusi sama walhal pada ketika ini kedua-duanya menganggotai Kerajaan PN?

Usahkan menteri, bagaimana dengan nasib Tan Sri Muhyiddin sendiri? Adakah beliau akan masih dipilih sebagai perdana menteri selepas PRU15? Semestinya ada satu bentuk perjanjian antara parti-parti yang kini menjalinkan kerjasama politik untuk menguasai kerajaan. Kalau tiada, apa makna kerjasama politik ini? Sekadar “marriage of convenience” yang bersifat sementara sahaja, untuk tempoh tiga tahun atau selagi Dewan tidak dibubarkan?

Kerajaan PN ini terbentuk pada Mac 2020. Jika Dewan dibubarkan dalam tahun ini juga, adakah Bersatu akan terpaksa berhadapan dengan 'rakan politik' Umno dan PAS di setiap kerusi termasuk Pagoh, Tambun, Alor Gajah dan Titiwangsa? Adakah situasi tidak menentu ini baik untuk rakyat dan negara?

Apakah yang menyebabkan Bersatu sanggup bersama dengan MN walhal keberadaan kita dengan mereka umpama hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong?

Benar presiden Bersatu adalah perdana menteri. Tapi perlu diingatkan bahawa perdana menteri sebelum ini pun dari Bersatu juga. Kata timbalan presiden UMNO, untuk menaikkan Tan Sri Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan, satu krisis dalaman telah dicetuskan dalam PH oleh pihak tertentu. Siapa pihak yang dimaksudkan?

Tidakkah nasib Bersatu jauh lebih baik bersama PH? Beberapa kenyataan oleh pemimpin PH menggambarkan kesediaan mereka untuk menerima Bersatu kembali. Hubungan antara kita walaupun sedikit tercalar akibat Langkah Sheraton masih boleh dipulihkan untuk kesejahteraan negara.

Agihan kerusi boleh saja dirunding seperti dulu supaya kita semua berkongsi kekuatan untuk menawan hati rakyat. Sekurang-kurangnya kita dapat mempertahankan kepentingan Bersatu bersama PH, berbanding dengan ketidaktentuan, risiko dan kerugian jika bersama Umno dan PAS.

Pada hemat saya, Bersatu hanya ada satu pilihan sahaja iaitu kembali bersama PH. Pengalaman tidak sampai dua bulan di bawah kerajaan Perikatan Nasional yang tidak wujud itu sangat pahit bagi Bersatu hingga ke akar umbi.

Ahli Majlis dan MPKK yang dianggotai Bersatu telah digugurkan di beberapa negeri kecuali Kedah. Cukup-cukuplah dengan menang sorak kampung tergadai. Kami tidak mahu lagi Bersatu diperkudakan dan diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak.

Saya sangat yakin bahawa krisis politik, krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang sedang melanda negara ketika ini akan dapat ditangani dengan lebih baik oleh sebuah kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan Tun Mahathir Mohamad.

Jika ahli-ahli Yang Berhormat dari Bersatu bersetuju dengan kenyataan saya ini, sila mengorak langkah dan kembali ke pangkal jalan. Itulah sebaik-baik tindakan yang boleh Yang Berhormat-Yang Berhormat lakukan untuk mengembalikan maruah dan menjamin kelangsungan Bersatu. Saya doakan Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada anda semua.


MUKHRIZ MAHATHIR ialah menteri besar Kedah dan timbalan presiden Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS