Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengulangi pendiriannya agar Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dipinda bagi meningkatkan hukuman berkenaan pemandu mabuk yang terlibat dengan kemalangan.
Tuan Ibrahim berkata, pindaan tersebut perlu dibuat bagi mengatasi masalah individu yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian orang lain.
“Saya tetap dengan pendirian sebelum ini bahawa pemandu mabuk yang bersalah mesti dikenakan hukuman lebih berat (pindaan Akta 333) kerana mengakibatkan kecederaan dan kematian orang lain,” katanya dalam satu kiriman di Twitter.
Menteri Alam Sekitar itu berkata demikian susulan seorang anggota polis yang maut dirempuh ketika bertugas di sekatan jalan raya Plaza Tol Kajang Selatan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 2.11 pagi itu, Allahyarham Koperal Safwan Mohamad Ismail, 31, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan akibat dirempuh sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk.
Bagaimanapun terdapat warganet yang secara menyindir membangkitkan kedudukan PAS sebagai parti dalam kerajaan sekarang dan ia perlu dibawa ke Dewan Rakyat.
“Hebat cakap atas angin saja...Tindakan tak de pun,” kata Pengguna Twitter AzeryAzezul.
Pengguna Twitter Farhan Zulkefly dan Energyposkas pula membangkitkan keperluan sidang Dewan Rakyat diadakan bagi membolehkan akta tersebut dipinda.
"Kalau nak gubal undang-undang, kena melalui parlimen. Bukat setakat twit untuk penyokong gembira," kata Farhan.
"Tak perlu cakaplah kalau sidang Parlimen pun sehari saja," kata Energyposkas.
Masalah pemandu mabuk hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lalu. Pada awal tahun ini Tuan Ibrahim dalam kenyataan menyifatkan isu itu sebagai sangat serius kerana melibatkan nyawa orang awam yang tidak bersalah.
“Rakyat mendesak Akta 333 dipinda khususnya melibatkan hukuman bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian. Berdasarkan Seksyen 41 dan 44 Akta 333, hukuman maksimum adalah penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000.
“Sampai bila rakyat yang tidak bersalah terus menjadi korban pemandu mabuk ini? Mengapa Menteri Pengangkutan masih berdiam diri dan belum meminda Akta 333?” katanya pada 24 Januari lalu.
'Hukuman teramat berat'
Beberapa hari kemudian, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaa secara prinsip setuju untuk mengetatkan undang-undang sedia ada berkenaan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Beliau berkata perbincangan akan diadakan dan rang undang-undang untuk mengetatkan undang-undang itu dijangka dibawa ke sidang Parlimen pada Jun atau Julai 2020.
Bagaimanapun kerajaan PH tumbang pada akhir Februari lalu dan tumpuan negara kini beralih kepada usaha menangani krisis Covid-19.
Dalam pada itu, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menggesa satu hukuman "yang teramat berat" kepada pemandu di bawah pengaruh alkohol yang terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa.
“Hukuman yang teramat berat hendaklah diberikan kepada sesiapa yang menyebabkan kecederaan apatah lagi kematian anggota polis atau selainnya yang sedang bertugas untuk kepentingan awam di jalan raya.
“Arak ternyata telah memusnah banyak nyawa dan harta. Pemandu mabuk yang menyebabkan kematian anggota keselamatan patut dipertimbangkan untuk hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebat, " katanya di Facebook.