Anak perempuan kepada presiden Umno dan bekas timbalan perdana menteri, Nurulhidayah Ahmad Zahid akan dihadapkan ke mahkamah Selasa ini kerana didakwa melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed ketika memaklumkan hal ini, berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memutuskan untuk mengenakan pendakwaan selepas polis menghantar kertas siasatan berhubung kes tersebut.
"Keputusan telah dibuat oleh pihak AGC.
"Dia (Nurulhidayah) akan dituduh pada Selasa ini di Mahkamah Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media bagi pergerakan antara negeri dalam tempoh PKP bersyarat (PKPB) di Bukit Aman hari ini.
Huzir (gambar, bawah) berkata demikian ketika ditanya mengenai status terkini kes Nurulhidayah setelah semalam menyatakan Nurulhidayah dan suaminya, Saiful Nizam Mohd Yusoff akan didakwa "dalam masa terdekat".
Bulan lalu, Nurulhidayah memuat naik pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad, bersama suaminya, Saiful Nizam Mohd Yusoff.
Selain itu, dia turut memuat naik gambar pertemuan dengan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad, yang sebelum ini pernah menjadi setiausaha politik ayahnya, Ahmad Zahid Hamidi.
'Ada permit, buat temujanji'
Hantaran itu menerima reaksi negatif warganet kerana dikatakan melanggar PKP yang sedang dikuatkuaskan ekoran wabak Covid-19 sejak 18 Mac.
Garis panduan yang ditetapkan di bawah PKP fasa kedua dan ketiga antara lain adalah hanya seorang yang dibenarkan dalam satu kereta dan perjalanan terhad dalam lingkungan 10km kecuali dengan kebenaran khas dari polis atau kebenaran untuk bekerja.
Bagaimanapun, Nurulhidayah semalam memberitahu Malaysiakini bahawa dia sebenarnya mempunyai permit pergerakan daripada polis untuk menghadiri pertemuan itu ketika PKP.
Jelasnya lagi, pertemuannya dengan dua individu itu dibuat berdasarkan temu janji dan jemputan.
Mengulas mengenai soal permit pergerakan yang dibangkitkan Nurulhidayah, Huzir hanya menjawab "keputusan telah dibuat oleh AGC".
Polis membuka kertas siasatan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 berhubung kes itu pada 25 April, setelah mengambil keterangan sehari sebelum itu.
Semalam, Nurulhidayah menyatakan kesediaannya untuk didakwa di mahkamah dan untuk memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku, kerana tidak mahu memanjangkan isu berkenaan.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.