Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan negeri, peniaga masih boleh ambil langkah pencegahan - Ismail Sabri

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan sektor perniagaan masih boleh mengambil langkah yang ketat bagi mencegah penularan wabak Covid-19 walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dilonggarkan bermula esok.

Ismail berkata pemilik premis boleh memilih untuk mengekalkan langkah-langkah pencegahan sedia ada sekiranya berasa tidak selamat.

"Banyak sektor yang telah dibenarkan untuk beroperasi. Walaubagaimanapun bukan bermakna setiap operator kepada sektor tersebut mesti memulakan perniagaan mereka.

"Ia terserah kepada pemilik sektor-sektor berkaitan. Walaupun kebenaran diberi mereka masih boleh membuat pilihan. 

"Sebagai contoh, kita membenarkan restoran dibuka dan menjamu selera dalam restoran tersebut dengan SOP yang ditetapkan seperti penjarakan sosial.

"Walaubagaimanapun jika pemilik restoran masih meragui dari segi keselamatan, mereka masih boleh meneruskan perniagaaan dengan take away (bungkus) untuk membawa pulang," kata menteri kanan kluster keselamatan itu ketika sidang akhbar harian Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Ismail bagaimanapun berkata kerajaan tidak membenarkan restoran untuk melanjutkan waktu operasi selepas jam 10 malam.

Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan dikuatkuasakan bermula esok, namun beberapa kerajaan negeri termasuk Pahang dan Sarawak mengumumkan tidak akan mengikut jejak langkah kerajaan persekutuan.

Selain itu setakat ini, kerajaan negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan mengeluarkan garis panduan untuk tidak membenarkan orang ramai makan di restoran.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS