mk-logo
Berita
Saifuddin arah SKMM jangan kenakan tindakan terhadap media HK
Diterbitkan:  May 3, 2020 2:10 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tidak bertindak terhadap media South China Morning Post (SCMP) yang berpangkalan di Hong Kong.

Laporan media yang mengundang maklum balas kerajaan itu berjudul "Coronavirus: Hundreds arrested as Malaysia cracks down on migrants in Covid-19 red zones" (Koronavirus: Ratusan ditangkap, Malaysia bertindak keras terhadap pendatang di zon merah Covid-19).

Saifuddin memaklumkan keputusan itu kepada salah seorang wartawan yang menulis artikel tersebut, Tashny Sukumaran yang berkicau di Twitter, berkata polis telah memanggilnya mengenai laporan berkenaan.

"Saya sudah katakan kepada TV3 pagi tadi bahawa saya telah mengarahkan SKMM supaya tidak bertindak terhadap anda.

"Saya mungkin tidak suka laporan anda, tetapi saya akan mempertahankan hak anda untuk menulisnya.

"Semalam, (Ketua Pengarah Kesihatan) Dr Noor Hisham Abdullah telah menjelaskan isu-isu yang anda bangkitkan. Inilah cara untuk melakukannya melalui penjelasan dan klarifikasi," kata Saifuddin.

Tidak jelas sekiranya polis juga akan menghentikan siasatannya kerana polis berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, yang diterajui menterinya Hamzah Zainuddin.

Semalam, kerajaan mempertahankan serbuan imigresen dan penangkapan terhadap pendatang tanpa izin (Pati) di zon merah Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob semalam telah memberi jaminan mereka yang ditahan telah diuji negatif Covid-19 dan tidak akan dianiaya.

Terdahulu, kumpulan hak asasi manusia berkata tindakan itu akan menyebabkan pendatang tanpa dokumen takut ditangkap dan sukar untuk mereka tampil ke hadapan untuk diuji Covid-19.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS