Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Biarkan PN berkuasa sebenarnya tak bermaruah, kata Faiz
Diterbitkan:  May 3, 2020 10:20 AM
Dikemaskini: 2:20 AM

Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Abd Razab patut menarik semula kenyataannya terhadap Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, kata Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Menurut anggota Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional itu, isu pelawaan dibuat Salahuddin kepada parti Bersatu baru-baru ini selari dengan keputusan kolektif Pakatan Harapan (PH) dan tiada khilaf dari sudut politik.

Kata Faiz, isu berkenaan juga dibincangkan dalam Majlis Presiden PH yang bersetuju untuk meneruskan kerjasama politik dengan Bersatu yang diterajui Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa siri pertemuan dengan Mahathir juga, katanya, dihadiri pemimpin utama PH termasuk dari PKR.

"Mempunyai bilang yang cukup di parlimen atau DUN - terutama di Johor - memerlukan sokongan wakil rakyat Bersatu.

"Perlu diingat bahawa kenyataan tersebut dibuat secara terbuka dan bukannya melibatkan pertemuan sulit yang tidak bermaruah seperti yang dilakukan PAS sebelum ini sehingga terbubarnya Pakatan Rakyat (PR)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 30 April lalu, Salahuddin berkata ketika ini Bersatu di Johor kelihatan seperti diperlakukan sebagai budak suruhan kepada Umno dan tidak mungkin akan diperlakukan secara adil.

Saka-saka kleptokrasi

Justeru, kata Adun Simpang Jeram itu, "jalan kebenaran penuh bermaruah" masih belum jauh mereka tinggalkan di belakang dan PH bersedia menerima Bersatu kembali.

"Kembalilah kepada jalan kebenaran. Biar mati berdiri, daripada hidup menghamba diri," katanya. 

Ahmad Syukri kemudian mengkritik Salahuddin dan menganggap cadangan menerima kembali Bersatu dalam PH sebagai tidak bermaruah.

Malah dia juga menyarankan agar mana-mana pemimpin PH yang mahu menubuhkan kerajaan bersama Bersatu agar meninggalkan gabungan berkenaan untuk menyertai mana-mana parti lain. 

Menganggap pandangan Ahmad Syukri itu sebagai dangkal, Faiz berkata, membiarkan negara ini terus dikuasai Perikatan Nasional (PN) adalah tindakan tidak bermaruah yang sebenar.

"Tindakan Bersatu keluar PH dibuat majlis pimpinan tertinggi parti itu dan bukannya perhimpunan agung,

"Sudah pasti ada kalangan pemimpin dan ahli Bersatu yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana kerjasama dengan Umno bertentangan dengan semangat penubuhan parti yang mahu menjatuhkan kerajaan kleptokrasi.

"Oleh itu, sudah pasti ada antara mereka yang mahu bersama PH yang menolak Umno yang masih mewarisi saka-saka kleptokrasi sehingga sekarang," katanya.

Menurut Faiz lagi kebebasan politik termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, justeru wakil-wakil rakyat Bersatu berhak untuk kembali menyokong PH ketika masa belum terlewat.

"PH harus meramaikan rakan politik dan mengecilkan musuh. PH tidak boleh bermegah dengan jumlah ahli parlimen atau Adun buat ketika ini kerana tidak cukup bilang bagi merampas kembali kerajaan yang telah dirompak PN," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS