Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekatan k'jaan antara cabaran wartawan melaporkan Covid-19

Tiga daripada empat wartawan di 77 negara menghadapi sekatan, halangan atau ugutan dalam melaporkan mengenai wabak Covid-19, menurut kajian yang dijalankan oleh Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) di kalangan lebih 1,300 petugas media.

Di Malaysia, sekatan dikenakan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) terhadap wartawan daripada membuat liputan sidang media harian Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara.

Sidang media itu hanya dihadkan kepada 'media rasmi sahaja' iaitu RTM dan agensi berita nasional Bernama.

Namun keadaan ini berbeza dengan sidang media Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah di kementerian itu di Putrajaya apabila ia dibuka kepada semua media dengan penguatkuasaan langkah-langkah pencegahan, termasuk penjarakan sosial, pemeriksanaan suhu badan dan pemakaian penutup mulut dan hidung.

Naib Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) Farah Marshita Abdul Patah berkata sekatan terhadap wartawan memberi cabaran kepada mereka, terutamanya jika soalan mereka tidak selaras dengan agensi berita negara.

"Perlu ada wakil media yang lebih luas. Ini termasuk liputan sidang akhbar utama kerajaan," kata Farah ketika dihubungi Malaysiakini.

Sidang media harian Ismail disiarkan secara langsung di RTM dan di laman Facebook rasmi beliau.

Semak dan imbang akan hilang

Dengan ketiadaan agensi media lain, pengerusi cawangan NUJM Times Press News Straits (NSTP) itu berkata terdapat soalan yang ditinggalkan tidak dijawab, sebagai contoh mengenai isu kontroversi tindakan terhadap individu yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Pihak media memahami keperluan untuk penjarakan sosial. Tetapi jika wakil mereka lebih meluas maka soalan akan lebih seimbang.

"Jika satu sidang media dimonopoli oleh media arus perdana atau agensi berita nasional, maka semak dan imbang akan hilang," katanya.

Wartawan kanan Syamsiah Sahat adalah antara tiga wartawan Bernama yang diberikan tugas bergilir-gilir membuat liputan sidang akhbar Ismail.

Berikutan halangan itu, Syamsiah berkata soalan beliau tidak hanya berdasarkan tugasan peribadi, tetapi turut ditanya bagi pihak rakan-rakan media yang lain.

"Sebagai rakan pengamal media, saya akan cuba memastikan soalan mereka ditanya," katanya mengakui tidak pasti mengenai sebab di sebalik halangan itu.

Ibu kepada empat orang anak itu juga berkata tugasan ketika PKP merupakan satu cabaran dengan semua anak-anaknya berada di rumah.

"Sebelum ke tempat kerja, saya perlu pastikan melayan anak-anak. Berlumba dengan waktu dan tekanan boleh membawa kepada kesilapan yang tidak diingini, sama ada kenyataan diambil di luar konteks atau isu-isu lain," katanya.

Sekatan terhadap media lain oleh PMO itu secara rasmi dinyatakan dalam notis kepada editor yang dikeluarkan oleh unit komunikasi korporatnya, termasuk satu notis bertarikh 7 April yang dilihat Malaysiakini.

Seorang pembantu kepada Ismail juga mengesahkan bahawa tiada kebenaran untuk liputan di PMO diberikan kepada media lain pada masa lalu.

Cabar kebebasan bersuara

Sementara itu, tinjauan IFJ yang dijalankan antara 26 April dan 28 April di kalangan 1,308 wartawan juga mendedahkan ancaman lain terhadap kebebasan akhbar di tengah- tengah wabak koronavirus.

Antara lain, majoriti kakitangan dan wartawan bebas dilapor menerima pemotongan gaji, hilang pendapatan, elaun dibatalkan atau keadaan kerja semakin teruk.

Lebih satu perempat daripada responden tidak mempunyai peralatan penting bagi membolehkan mereka bekerja dengan selamat di rumah, manakala satu daripada empat wartawan kekurangan peralatan perlindungan ketika bekerja di lapangan.

"Wabak ini tidak hanya mendedahkan petugas media kepada kelemahan fizikal, tetapi juga meletakkan mereka dalam garis kawalan kerajaan yang dikenakan ke atas laporan dan pergerakan mereka," kata Pengarah IFJ Asia Pacific, Jane Worthington dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Dari Wuhan, China - yang menjadi pusat penyebaran wabak Covid-19 - ke seluruh dunia - wartawan dan wakil media bertugas di barisan hadapan untuk melaporkan perkembangan di 217 daripada 247 buah negara dan wilayah yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Krisis kesihatan ini juga mencabar kebebasan bersuara dengan cara yang tidak pernah dilihat sebelum ini," kata Worthington.

Di tengah-tengah cabaran itu, beliau berkata ada media dan wartawan terus menjalankan kewajipan bagi memberikan maklumat, memastikan kebertangungjawaban kerajaan dan mendidik masyarakat dalam mempertahankan demokrasi.

Tahun ini, Malaysia sekali lagi  menaiki ranking kebebasan akhbar Reporters Without Borders (RSF) dengan memetik persekitaran yang lebih "santai" terhadap wartawan.

Menurut ranking kebebasan akhbar RSF pada 2020, Malaysia menaiki 22 anak tangga dan kini di kedudukan 101 daripada 180 buah negara yang dipantau.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Malaysia menaiki ranking kebebasan akhbar.

Ia juga merupakan tahun kedua berturut-turut Malaysia dinamakan sebagai negara yang membuat perubahan besar dalam kedudukan berkenaan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS