Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pertubuhan sosial bimbang siasatan polis terhadap wartawan
Diterbitkan:  May 3, 2020 12:21 AM
Dikemaskini: 4:21 PM

Pertubuhan gerakan sosial Projek Wawasan Rakyat (POWR) menyuarakan kebimbangan ekoran siasatan polis terhadap seorang wartawan berhubung laporan berkenaan operasi terhadap warga asing tanpa izin di Kuala Lumpur semalam.

Penyelaras POWR Faisal Aziz berkata, laporan yang ditulis Tashny Sukumaran, koresponden Malaysia bagi South China Morning Post, berlandaskan fakta dan bersifat objektif.

Justeru Faisal berkata pihaknya tertanya-tanya dengan tindakan polis untuk menyiasat Tashny mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

"Artikel dan ciapan berkaitannya bersifat fakta dan objektif, iaitu laporan tentang apa yang berlaku di tempat kejadian, dan pandangan daripada individu berwibawa daripada masyarakat sivil.

"Kerajaan juga diberi peluang untuk memberi penjelasan berkenaannya, tetapi dilaporkan tidak memberi respons terhadap permintaan untuk mengulas perkara itu.

"Secara keseluruhan, artikal dan bebenang di Twitter tampak tiada tujuan untuk menghina, memprovokasi atau memecahkan keamanan," katanya dalam kenyataan.

Kata Faisal lagi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah telah memberikan komitmen untuk mempertahankan kebebasan media.

"Wartawan harus sentiasa bebas daripada gangguan yang menghalang mereka menjalankan tugas tanpa takut dan pilih kasih," katanya lagi.

Beliau menggesa kerajaan dan polis untuk menghentikan sebarang siasatan yang "semberono" dan meningkatkan usaha ke arah dasar yang dapat memastikan keselamatan seluruh warga Malaysia.

Semalam, Malaysiakini melaporkan kira-kira 300 penguatkuasa daripada pelbagai agensi membuat operasi terhadap warga asing tanpa dokumen di jalan Masjid India, yang kini di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Sejumlah 586 warga asing ditahan dalam operasi itu.

Terdahulu hari ini, 62 NGO mengkritik tindakan itu, dengan memberi peringatan ia akan memaksa pelarian dan warga asing bersembunyi dan justeru menggagalkan usaha KKM untuk melakukan ujian saringan massa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS