Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Didakwa langgar PKP: Saya sedia ke mahkamah, kata Nurulhidayah

Nurulhidayah Ahmad Zahid sedia didakwa di mahkamah atas tuduhan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Saya sedia didakwa dan memohon maaf atas kekhilafan di mahkamah," katanya dalam reaksi segeranya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, polis berkata Nurulhidayah dan suaminya Saiful Nizam Mohd Yusoff akan didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dalam masa terdekat.

Anak kepada presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi itu berkata, dia tidak mahu memanjangkan isu tersebut walaupun pertemuannya dengan dua menteri dibuat berdasarkan temu janji.

"Saya diberi tarikh dan waktu untuk berjumpa menteri (di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad), dan saya juga ke timbalan menteri alam sekitar Masrizal Muhammad atas jemputan," katanya.

Nurulhidayah juga berkata dia mempunyai permit pergerakan daripada polis untuk menghadiri pertemuan itu ketika PKP.

Malaysiakini telah melihat dokumen tersebut yang dikatakan permit itu untuk Nurulhidayah dan Saiful Nizam bertemu Zulkifli dan Masrizal di Putrajaya.

Pada 25 April lalu, polis berkata telah membuka kertas siasatan terhadap Nurulhidayah dan Saiful Nizam berhubung dakwaan melanggar PKP.

Ia selepas Nurulhidayah memuat naik gambar pertemuan mereka dengan Zulkifli Masrizal di Instagram.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga Rm1,000 atau penjara tidak lebih sebulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS