Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKPB: Kedah tangguh pelaksanaan, S'gor secara berperingkat
Diterbitkan:  May 2, 2020 10:32 PM
Dikemaskini: 2:32 PM

Kedah akan menangguhkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), manakala Selangor tidak membenarkan semua industri kembali beroperasi pada 4 Mei ini.

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri akan meneliti syarat dan garis panduan PKPB yang diumum kerajaan persekutuan bagi memastikan ia sesuai mengikut keperluan negeri itu.

"Oleh itu pelaksanaan di bawah PKPB ditangguhkan di Kedah sehingga keputusan dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (khas Covid-19) pada 5 Mei ini.

"Pendirian ini diambil bagi menjamin Kedah kekal sebagai zon hijau dan rakyat tidak terancam dengan jangkitan Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penguatkuasaan PKPB bermula 4 Mei ini, yang antara lain membenarkan kebanyakan perniagaan kembali beroperasi.

Pada masa sama setiap sektor yang terlibat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Amirudin

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pihaknya perlu berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu, berkenaan penguatkuasaan dan garis panduan bagi mengelakkan peningkatan kes di negeri itu.

“Di peringkat kerajaan negeri, kita tidak mahu ‘crash landing’ dengan erti kata lain, kita akan cuba melihat peringkat demi peringkat dan saya akan bertanya dan melihat kesiapsiagaan PBT," katanya seperti dipetik Astro Awani.

Beliau berkata, PBT perlu melihat berkenaan kaedah operasi misalnya di kedai makan dan taman awam.

"Tak akan pihak polis nak serbu kedai makan, mesti pengutkuasa...Tidak termasuk lagi dengan aktiviti riadah di mana kalau saya buka (Taman) Tasik Shah Alam, saya tak tahu berapa ribu orang yang akan datang ke sana, serta bagaimana pengawalan di sana.

“Semua ini perlu diperincikan dan ia tidak boleh siap dalam satu hari,” katanya seperti dipetik, sambil berkata pihaknya turut perlu melihat garis panduan bagi operasi pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas.

Terdahulu, kerajaan Sarawak juga memutuskan untuk tidak mengikut langkah kerajaan persekutuan untuk membuka semula ekonomi pada Isnin ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Amar Douglas Uggah Embas, berkata kerajaan Sarawak perlu mengambil kira keadaan negeri dahulu sebelum membuat keputusan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS