Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Di 'medan perang berbeza', Noor Hisham minta rakyat patuh SOP setiap sektor

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai agar terus memainkan peranan masing-masing dalam melawan wabak Covid-19, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi setiap sektor.

Beliau berkata kerajaan sedang memainkan peranannya dalam menangani pandemik tersebut, maka orang awam juga perlu berbuat perkara sama dengan "mengamalkan kepatuhan sosial dan tanggungjawab sosial".

"Kami di Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang awam agar bersama-sama dengan kita dan pastikan patuh (nasihat dan ketetapan berkenaan Covid-19).

"Kepatuhan sosial dan tanggungjawab sosial sangat penting untuk memastikan kita benar-benar memutuskan rantai penularan Covid-19," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.


Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kebanyakan sektor ekonomi akan dibuka semula bermula 4 Mei ini, dengan garis panduan yang ketat oleh kerajaan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga mengeluarkan sejumlah SOP bagi mengelakkan gelombang jangkitan baru.

Misalnya kedai makan akan dibenarkan menerima pelanggan di premis dengan beberapa syarat, antaranya maksimum empat orang semeja dan jarak dua meter antara meja.

Matlamat PKP tercapai

Ditanya berkenaan kebimbangan sejumlah pihak bahawa langkah pelonggaran PKP itu dibuat terlalu awal, Noor Hisham sekali lagi berkata matlamat penguatkuasaan itu - iaitu melandaikan keluk jangkitan - telah dicapai.

Kebolehjangkitan wabak itu, yang diukur berdasarkan reproductive number (R0), menurun daripada 3.55 (sebelum PKP) kepada 0.7 pada masa ini.

"PKP bukan untuk menamatkan penularan virus...Kita masih dalam peperangan melawan Covid-19, tetapi barangkali di medan perang yang berbeza. Jadi di medan perang yang lain, kita perlukan strategi baru.

"Kementerian dan kerajaan boleh melaksanakan peranannya. Tetapi ada dua perkara yang kita nak masyarakat dan individu (lakukan). Iaitu mengupaya diri sendiri dalam soal tanggungjawab dan kepatuhan sosial ," katanya lagi.

Menggunakan denggi sebagai contoh, Noor Hisham berkata masyarakat telah belajar untuk menerima kewujudannya dengan mengambil langkah yang sepatutnya apabila perlu.

"Covid-19 kini sebahagian daripada komuniti kita, satu-satunya cara untuk melindungi diri kita, pada asasnya, adalah dengan mematuhi SOP ditetapkan kementerian," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa orang ramai menanggapinya secara bertahap.

"Tidak semestinya semua orang perlu terus ke pejabat Isnin ini, atau terus perlu berada di luar. Tidak.

"Mesejnya jelas. Untuk sektor lain seperti pendidikan dan sosial, tolong kekal di rumah," katanya lagi.

Berkenaan kebimbangan pembukaan semula perniagaan akan membawa kepada peningkatan kes seperti di negara lain, Noor Hisham berkata keadaan di Malaysia berbeza.

Misalnya, beliau berkata tidak seperti negara lain, Malaysia tidak melonggarkan kawalan sempadan walaupun dengan pelonggaran PKP.

[Baca berita asal]


Senarai penuh kegiatan yang tidak dibenarkan ketika PKPB

Garis panduan MKN untuk pembukaan semula perniagaan

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS