Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ti Lian Ker dilantik timbalan menteri perpaduan negara
Diterbitkan:  May 2, 2020 4:25 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Naib Presiden MCA Ti Lian Ker dilantik sebagai timbalan menteri perpaduan negara.

Sumber dalam kerajaan memberitahu Malaysiakini yang acara angkat sumpah dijangka berlangsung pada Selasa minggu depan di Istana Negara, Kuala Lumpur.

"Memandangkan keadaan semasa, acara hanya akan melibatkan beberapa orang.

"Selain Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique dan ketua setiausaha kementerian juga akan hadir," katanya kepada Malaysiakini.

Setakat ini Ti belum dapat dihubungi untuk mengulas perkara ini.

Berusia 58 tahun, graduan undang-undang Universiti Malaya itu dilantik sebagai senator pada 2018. Penggalnya tamat tahun depan.

Ti juga pernah menjadi adun selama tiga penggal di Pahang.

Pada 2004 hingga 2008, beliau berkhidmat seabgai adun Teruntum. Sebelum itu, beliau menjadi adun Indera Mahkota pada 1995 hingga 2004.

Sebelum ini, Muhyiddin melantik Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Sarawak Tiong King Sing untuk jawatan itu, tetapi ditolak Tiong.

Majlis Tertinggi PDP dilaporkan berkata jawatan itu tidak sesuai dengan kedudukan Tiong sebagai ahli politik senior, dengan pengalaman lima penggal sebagai anggota Parlimen.

Bulan lalu, Tiong dilantik menjadi duta khas perdana menteri ke China, yang membawa status menteri.

Pada masa ini, MCA mempunyai seorang menteri dan tiga timbalan menteri.

Presiden Wee Ka Siong adalah menteri pengangkutan, timbalan presiden Dr Mah Hang Soon merupakan timbalan menteri (I) pendidikan, naib presiden Lim Ban Hong timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri dan Anggota Parlimen Tanjung Piai Wee Jeck Seng menjadi timbalan menteri (I) perusahaan perladangan dan komoditi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS