Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Timb menteri jelaskan punca makanan tak sampai segera di kawasan PKPD

Penduduk di Kuala Lumpur mengadu bahawa mereka dibiarkan kelaparan setelah ditempatkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) apabila bantuan makanan hanya tiba beberapa hari setelah sekatan dilaksanakan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara turut mengakui perkara berkenaan dan menjelaskan masalah yang dihadapi pada peringkat awal PKPD dilaksanakan di kawasan perumahan tersebut.

“Terdapat beberapa cabaran pada dua hari pertama kerana kita harus melakukan (ujian Covid-19) swab mulut dan mendapatkan nama mereka. Kita hanya boleh hantar (makanan dan keperluan asas) selepas pendaftaran dan swab (selesai),” katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini dan KiniTv.

Sebelum itu, Santhara turut mengatakan bahawa pegawai kerajaan perlu menangani masalah psikologi yang mempengaruhi masyarakat.

“Harus difahami bahawa segelintir rakyat agak agresif pada mula, jadi kita terpaksa tenangkan mereka. Kita tidak dapat terus masuk kerana tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku,” tambahnya.

Jelasnya, kisah pesakit yang ditempatkan di hospital dan menerima rawatan perubatan yang baik telah membuat kerajaan berjaya meraih keyakinan di kalangan mereka yang terjejas.

“Bila ada lockdown (sekatan) di kawasan perumahan, ia bukan lah secara tiba-tiba mereka tidak akan ada barang makanan. Isi rumah rakyat Malaysia selalunya mempunyai (bekalan makanan) selama seminggu atau dua,” katanya lagi.

Setelah beberapa hari sekatan dilaksanakan – di kawasan perumahan tersebut - Santhara mengatakan bahawa situasi kini telah menjadi lebih lancar dan aduan juga sudah kurang diterima.

Selain memberikan bekalan makanan, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengirim ubat-ubatan, susu formula dan gas memasak kepada keluarga yang meminta barang tersebut.

Kerajaan telah melaksanakan PKPD di kawasan Menara Plaza City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion dan kawasan sekitar pasar borong Kuala Lumpur. Penduduk kawasan tersebut merangkumi lebih 20,000 warga asing dan pelarian.

Beberapa video klip dan mesej penduduk serta warga asing yang menangis kelaparan turut tular pada hari kedua hingga kelima ketika PKPD berkuat kuasa.

Terdapat juga aduan yang mendakwa bekalan makanan tidak diagihkan secara adil.

Di Selayang, penduduk mengadu kerana kurang mendapat bekalan keperluan asas kerana hanya menerima beras, minyak masak dan tepung tanpa sayuran dan makanan lain.

Santhara menjelaskan bahawa ini kerana kerajaan hanya menyediakan barang keperluan asas yang kering sahaja dan penduduk harus menunggu giliran bagi menerima bekalan makanan lain yang diderma oleh NGO, ahli korporat dan wakil rakyat.

Untuk menyelesaikan aduan itu, katanya, kerajaan kini telah meletakkan pelekat di pakej barang keperluan supaya penduduk tahu sumber barang keperluan tersebut.

Santhara turut menambah bahawa Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) tidak akan digunakan untuk memberi bantuan kepada orang asing di kawasan PKPD dan telah mendorong NGO serta sektor korporat bagi membantu mereka.

Selain menerima sumbangan untuk membiayai bantuan bekalan makanan, beliau menjelaskan bahawa kerajaan juga telah menyalurkan barang dalam keadaan baik yang dirampas dari peniaga pasar haram.

Beliau juga menggesa kumpulan persatuan hak asasi manusia supaya tampil untuk membantu kerajaan dalam mengumpulkan dana bagi membantu pelarian Rohingya ketika tempoh dan selepas PKP.

Mengulas berkenaan kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menggesa kerajaan supaya tidak mengabaikan kaum Rohingya dan membiarkan mereka kelaparan, Santhara memberikan pendapat dan mencabar kerajaan adalah perkara mudah.

“Saya melihat Anwar secara peribadi banyak memberi kenyataan. Tetapi dia juga harus mengambil tindakan.

“Bincang dengan ketua korporat dan rakan untuk keluar dan derma (kepada Rohingya),” katanya.

Terdapat beberapa pihak yang meluahkan rasa marah terhadap kumpulan Rohingnya setelah PKPD dilaksanakan di Lembah Klang, menurut NGO Mercy Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret) dan Agensi Bantuan Malaysia (MRA).

Pada 16 April lalu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mematahkan cubaan masuk sebuah kapal yang membawa 200 pelarian Rohingya.

Pada 26 April, Anwar menjelaskan bahawa pemimpin kerajaan tidak harus mengabaikan isu Rohingya hanya kerana ia bukan isu yang popular.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS