Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ada hikmah Ramadan kali ini buat pelajar, guru Tahfiz

Ramadan merupakan bulan bagi seluruh umat Islam menjalankan ibadah puasa sebagai Rukun Islam yang ketiga.

Pada bulan yang penuh barakah ini juga memberi kesempatan untuk umat Islam meningkatkan iman, amal dan takwa.

Bagi pengusaha tahfiz dan pelajar tahfiz, kehadiran Ramadan sangat bermakna bagi mereka untuk merebut pahala melalui aktiviti ibadah seperti bertadarus, bertahlil, dan menghafaz al-Quran dengan lebih fokus.

Kelazimannya mereka akan menerima banyak jemputan dan menjadi rebutan pelbagai pihak untuk berbuka puasa, mengimamkan solat Isyak serta Tarawih, memberi tazkirah, bertadarus dan bertahlil.

Namun, ia sedikit berbeza pada Ramadan kali ini, di mana seluruh umat Islam di dunia khususnya di Malaysia terpaksa menjalani ibadah puasa dalam suasana berwaspada akibat krisis pandemik Covid-19.

Pada tahun ini, umat Islam menjalani ibadah puasa dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bermula 18 Mac sehingga 12 Mei bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, rata-rata pengusaha tahfiz yang dihubungi Malaysiakini menganggap apa yang berlaku ketika ini ada hikmah kepada mereka semua.

Walaupun seluruh dunia sedang diuji, pemilik maahad tahfiz menganggap tempoh PKP adalah waktu untuk semua pihak bertenang.

Menurut Pengetua Madrasah Tahfiz Ar Raudhah (INFRU), Seri Kembangan, Selangor, Aiman Ruslan, Ramadan kali ini memberi peluang kepada pelajar tahfiz dan tenaga pengajar untuk lebih dekat dengan keluarga, yang sebelum ini begitu terhad masa bersama mereka.

"Sebelum ini kita tak ada peluang nak bertadarus dengan keluarga, masing-masing, sibuk dengan masjid dan surau. Jadi, ini Allah SWT memang dah bagi peluang untuk kita bersama keluarga.

"Kemungkinan inilah satu-satunya masa yang ada, waktu ini bersama mak dan ayah. 

"Jadi ambillah peluang ini bersama-sama mak dan ayah untuk imarahkan Ramadan seperti mana mereka buat di madrasah pada tahun-tahun sebelum ini. Dan inilah hikmahnya," katanya kepada Malaysiakini.

Turut sama merasai suasana baru Ramadan kali ini ialah Pengetua Maahad Tahfiz Kasyiful Ulum (MTKU), Shah Alam Selangor, Umar Kamarudin.

Ibu bapa dapat bersama anak-anak

Kata Umar, pelaksanaan PKP dalam bulan Ramadan kali ini besar maknanya, khususnya kepada ibu bapa.

"Apa yang berlaku ini ada hikmahnya. Sebelum ini pelajar dan ustaz tak dapat luangkan masa dengan keluarga. Kita hanya akan cuti tiga hari sebelum Aidilfitri.

"Jadi, tahun ini ibu bapa dapat manfaatkan masa yang ada dengan anak-anak di rumah, yang mana pelajar saya memang wajib jadi imam untuk solat tarawih dan bertadarus di rumah," katanya.

Sementara bagi pengetua Maahad Tahfiz Al Furqan, Shah Alam, Selangor, Muhammad Fauzi Ghazali, beliau menganggap sambutan Ramadan tahun ini merupakan suasana baru bagi mereka.

"Ini suasana baru bagi kami di pusat-pusat tahfiz, yang mana ia memang tak pernah berlaku dan kita tak jangkakan pun akan berlaku.

"Tapi pastinya ada hikmah yang kita tak tahu. Mungkin Allah SWT nak bagi kita peluang dan ruang bersama keluarga dan kita kena reda dengan apa yang ditentukan,"katanya.

Bagi pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, Mohd Zahid Mahmood beliau tidak menafikan perbezaan ketara Ramadan kali ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kata Mohd Zahid, lazimnya setiap kali Ramadan rutin pelajar dan tenaga pengajarnya akan terisi dengan pelbagai aktiviti keagamaan.

Katanya, kegembiraan itu bukan sahaja dirasai pelajar tahfiz, malah turut dirasai keseluruhan penghuni madrasah apabila tenaga pengajar juga mendapat jemputan berbuka puasa, mengimamkan solat tarawih dan mengadakan kuliah di masjid.

"Jadi kemeriahan itu memang tak dinafikan oleh semua warga tahfiz dan ustaz-ustaz sendiri. Kita juga turut dijemput untuk bertadarus setiap malam di rumah-rumah VIP," katanya.

Namun, Mohd Zahid berkata suasana itu berbeza sama sekali pada tahun ini apabila aktiviti di madrasahnya terpaksa dihentikan dan pelajar diarahkan pulang ke rumah masing-masing.

"Biasanya tiga atau empat hari di bulan Ramadan mereka akan berbuka puasa di rumah iaitu empat hari sebelum cuti raya.

"Sekarang ini mereka dapat menikmati suasana berbuka puasa bersama keluarga di rumah. 

"Itu hikmahnya kepada anak-anak tahfiz," katanya menambah pengusaha tahfiz juga berkesempatan memperbaiki aspek pengurusan sepanjang tempoh PKP.

Malaysia kini dalam fasa keempat PKP bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 selepas dilanjutkan empat kali. 

Tarikh baru perintah itu akan tamat pada 12 Mei ini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS