Paling Popular
Terkini

ULASAN | Perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19 telah menyebabkan semua lapisan masyarakat terkesan dan memberikan impak bebanan terhadap rakyat.

Golongan asnaf, anak yatim dan kurang berkemampuan sememangnya menjadi tajuk utama dan objektif badan-badan kerajaan untuk dibantu. 

Akan tetapi epidemik Wabak Covid-19 yang tidak pernah dijangka ini telah mengakibatkan keseluruhan rakyat Malaysia dibelenggu pelbagai masalah.

Sebagai contoh di Pasir Gudang yang mana peratusan penduduk di sini bekerja di sektor perkilangan dan sektor pelabuhan. Mereka ini semua terjejas.

Isu kehilangan mata pencarian, diberikan cuti tanpa gaji, diberhentikan kerja, bekalan makanan terputus, kepadatan isi rumah yang menyebabkan ketidak selesaan semasa PKP dan pelbagai isu lain telah menjadi rungutan dan rintihan masyarakat.

Rakyat di sini telah memberikan saya mandat untuk mewakili mereka dan selayaknya saya berhak untuk menyuarakan keluhan dan rintihan mereka.

Isu Yayasan Pasir Gudang adalah satu isu yang tidak perlu diperbesar-besarkan. Jawatan pengasas atau pengerusi bukan isu utama kerana tugas dan fungsi YPG sememangnya untuk membantu masyarakat.

Masa PKP inilah badan seperti YPG perlu meningkatkan usaha dan inisiatif untuk bergerak untuk meringankan bebanan masyarakat setempat.

Peruntukan dan bantuan kepada golongan yang memerlukan harus dilipat gandakan tidak seperti tahun-tahun sebelum ini sejajar dengan inisiatif kerajaan yang telah memberikan pelbagai insentif tambahan merangsang ekonomi dan membantu rakyat.

Tanggungjawab penyandang jawatan dalam YPG perlu lebih proaktif kerana inilah masanya untuk sepenuhnya berkhidmat kepada masyarakat.

Timbul rasa tidak puas hati bukan kerana jawatan dan itu bukan punca kemarahan saya. Akan tetapi saya akan berasa amat marah jika sekiranya rakyat tidak dibela.

Permohonan tambahan untuk bantuan kepada golongan terkesan masih belum dapat diputuskan sedangkan kita sedang melalui Ramadan dan akan bertemu Syawal tidak lama lagi.

Apa yang telah saya suarakan hanyalah apa yang rakyat mahukan. Mereka mahukan pembelaan kepada mereka dalam masa-masa yang memerlukan. Bantuan, sokongan dan keprihatinan badan-badan berkaitan terutamanya pihak kerajaan.

Gesa duduk semeja

Kerajaan Perikatan Nasional Johor adalah sebuah kerajaan yang mana dengan restu Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin untuk membentuk sebuah kerajaan antara Umno dan Bersatu sebagai anggota utama.

Oleh yang demikian kesepakatan seharusnya menjadi teras dalam menentukan hala tuju negeri Johor. 

Saya menggesa Menteri Besar Johor Hasni Mohammad untuk duduk semeja dengan semua wakil-wakil rakyat yang membentuk kerajaan ini untuk bermesyuarah, bermuafakat dan mencapai kesepakatan dalam urusan pentadbiran, pembangunan dan kebajikan Negeri Johor.

Kita tidak perlu untuk menunggu Dewan Negeri untuk bersidang untuk membentangkan usul akan tetapi kita sudah sepatutnya merancang gerak kerja yang lebih efektif dan produktif bagi menangani isu Covid-19 ini dan masa depan negeri Johor selepas PKP ini.

Bercerai, kita roboh

Perlu diingat bahawa Kerajaan Johor dibentuk melalui persepakatan yang mana Perikatan Nasional adalah hasilnya. Oleh yang demikian, persepakatan ini harus dijaga, suara semua wakil-wakil rakyat dalam perikatan ini perlu diambil kira dan diberikan perhatian terutamanya oleh menteri besar Johor dan barisan exco.

Manakan dapat dirasai madunya jika tidak dijolok sarang lebahnya. Biarlah kita bercanggah pendapat demi untuk mencapai persepakatan untuk manfaat bersama. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada rakan dan juga seteru saya Khaled Nordin, mantan menteri besar Johor yang telah dilantik sebagai pengerusi Bousted Holdings Berhad.

Beliau mempunyai kredibiliti dan pengalaman untuk membawa syarikat ini mencapai objektif memberikan pulangan positif kepada pemegang saham terbesar Bousted Holdings Berhad iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera.


CHE ZAKARIA MOHD SALLEH ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Permas merangkap Adun Bersatu.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS