Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PKPD dikuatkuasa jika perniagaan abai SOP hingga ada kes Covid-19'

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi peringatan agar perniagaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan jika tidak ingin berdepan risiko dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) jika berlaku penularan Covid-19.

"Apa yang pasti mereka kena patuh pada SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM). Kalau mereka tidak patuh, kita akan lihat tindakan (yang boleh diambil).

"Kalau ada penularan kes di satu kawasan atau lokaliti (seperti kilang), kita akan jalankan (kuatkuasakan) PKPD, iaitu kita akan tutup kawasan tersebut dan laksanakan saringan," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya, mereka di kawasan itu yang didapati positif Covid-19 akan diasingkan manakala kontak rapat mereka akan dikenakan kuarantin.

Katanya lagi, pemantauan dan penguatkuasaan untuk setiap sektor dan kawasan akan dibuat oleh pihak berkuasa dan kementerian yang bertanggungjawab.

Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya tentang perancangan KKM berkaitan perintah kawalan pergerakan (PKP) bersyarat yang akan berkuat kuasa 4 Mac ini.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penguatkuasaan PKP bersyarat bermula 4 Mei bagi membuka semula ekonomi.

MKN juga mengeluarkan garis panduan bagi perniagaan dan kegiatan yang dibenarkan semula nanti.

Dr Noor Hisham berkata, KKM menyokong kelonggaran PKP memandangkan negara kini dalam fasa pemulihan wabak Covid-19.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 69 kes baru Covid-19 direkodkan. Ia menandakan hari ke-17 berturut-turut kes baru di bawah angka 100.

Secara keseluruhan, sebanyak 4,210 pesakit - atau 69.3 peratus daripada jumlah kes - telah sembuh dan dibenarkan pulang.

Setakat ini, Malaysia mencatat jumlah keseluruhan 6,071 kes Covid-19, dengan 103 korban.


Senarai penuh kegiatan yang tidak dibenarkan ketika PKPB

Garis panduan MKN untuk pembukaan semula perniagaan

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS