Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mesyuarat MT Umno pertama selepas pelaksanaan PKP

Umno akan mengadakan mesyuarat Majllis Tertinggi (MT) parti itu Isnin ini ketika kerajaan berhasrat melonggarkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid, berkata ia mesyuarat pertama diadakan parti itu selepas kerajaan melaksanakan PKP pada 18 Mac lalu.

"Mesyuarat akan diadakan mengikut tatacara ataupun peraturan ditetapkan, seperti penjarakan sosial ketika mesyuarat dan pemeriksaan suhu badan.

"Berapa ramai MT yang akan hadir mesyuarat itu nanti itu kena tanya setiausaha agung Umno," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jelasnya, Umno akan mengikut segala peraturan keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

Bagaimanapun Mahdzir berkata mesyuarat MT yang akan diadakan hanya mesyuarat biasa dan bukannya mesyuarat khas MT. 

"(Mesyuarat diadakan) Mungkin sebab sudah lama tidak bermesyuarat.

"Biasalah mesyuarat parti politik, pastinya akan membincangkan isu politik," jelas Mahzdir yang juga anggota Parlimen Padang Terap.

Umno menjadi parti politik pertama mengadakan mesyuarat secara rasmi ketika PKP masih berlangsung ketika ini.

Malaysia melaksanakan PKP bermula 18 Mac lalu selama dua minggu, namun dilanjutkan oleh perdana menteri Muhyiddin Yassin menerusi empat fasa sehingga 12 Mei.

Hari ini, Muhyiddin mengumumkan PKP bersyarat (PKPB) bagi membolehkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi Isnin ini.

Keputusan itu dibuat kerajaan selepas melihat keupayaan membendung penularan wabak berkenaan.

Mesyuarat MT Umno yang dijadualkan Isnin ini dijangka memberi tumpuan kepada isu-isu semasa membabitkan parti tu dan rakan komponennya dalam Perikatan Nasional (PN).

Ia juga dijangka akan membincangkan kemelut antara Umno dengan Bersatu di Johor berhubung agihan jawatan dalam kerajaan negeri dipimpin PN.

Pada 27 April, pemimpin Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri dalam satu tulisannya meminta parti lain yang membentuk kerajaan PN agar tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan.

Bagaimanapun Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang hari ini mendakwa lebih yakin bahawa penyelesaian “menang-menang” mampu dicapai.

“Saya sangat yakin dengan kepimpinan Hasni Mohammed sebagai MB, dia seorang yang kompeten," katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu, isu tuntutan Umno Sabah terhadap perdana menteri juga dijangka dibangkitkan dalam mesyuarat itu nanti.

Pada 17 April lalu, Umno menuntut agar beberapa pemimpin parti itu dari Sabah dilantik sebagai pemimpin dalam kerajaan Muhyiddin.

Antaranya, parti itu menuntut agar Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, dipilih sebagai pengerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah.

Seorang pemimpin Umno yang enggan mendedahkan identitinya mengesahkan kesahihan surat bertajuk "Cadangan dan tuntuan Umno Sabah" tersebut yang dihantar kepada presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

'Tak tahu apa akan dibincangkan'

Sementara itu, Anggota Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman turut mengesahkan mesyuarat MT Umno akan berlangsung Isnin ini.

Jelasnya yang juga anggota MT Umno, mesyuarat itu akan berlangsung di ibu pejabat Umno Kuala Lumpur dengan mematuhi peraturan bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun beliau tidak pasti berapa jumlah anggota MT yang dijangka hadir.

"Jumlah kehadiran saya tidak pasti, tetapi penjarakan sosial dan peraturan lain pasti akan dilaksanakan.

"Apa yang akan dibincangkan hanya diketahui apabila mesyuarat berlangsung," katanya.

Usaha Malaysiakini mendapatkan komen Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan masih gagal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS