Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Mohd Dun dan Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, merupakan dua daripada lima individu yang dilantik menjadi pengerusi agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang baru.
Azizah dilantik sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), manakala Nik Mohamad Abduh pula dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (Kesedar).
Pelantikan itu diumumkan menerusi satu kenyataan media oleh Menteri KPLB, Dr Abd Latiff Ahmad (gambar atas), hari ini.
Azizah dari parti Umno, menggantikan pengerusi Mara yang lama, Hasnita Hashim yang pernah menjadi pengerusi Maybank Asset Management Group dan ahli lembaga pengarah Maybank Banking Berhad.
Hasnita ditamatkan perkhidmatan bulan lalu selepas hanya 18 bulan memegang jawatan itu.
Nik Mohamad Abduh dari PAS pula menggantikan Sazmi Miah dari Bersatu, yang menjawat jawatan itu sejak Oktober 2018.
Selain Azizah dan Nik Mohamad Abduh, lagi yang dilantik ialah Ahli Parlimen Jempol sebagai pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda); Adun Permas Che Zakaria Mohd Salleh selaku pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (Kejora).
Selain itu, Ahli Dewan Negara Razali Idris turut dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Terengganu Tengah (Ketengah).
Semalam, Che Zakaria dari Bersatu bersuara soal dia dipecat daripada jawatan sama, yang sebelum ini dikatakan menimbulkan situasi panas antara Umno dan Bersatu Johor.
Mengulas mengenai pemecatannya semalam, Che Zakaria berkata, meskipun tidak menganggapnya sebagai suatu isu, dia juga menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap beberapa “perkara kecil” yang menjadi pertikaian wakil rakyat Bersatu Johor.
Dia turut mempertikaikan lantikan Ketua Bahagian Umno Pasir Gudang, Khaled Nordin yang bukan wakil rakyat, sebagai pengerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG), yang menurutnya mengundang kemarahan Bersatu Johor.
Bekas menteri besar Johor Osman Sapian kelmarin turut membangkitkan isu pelantikan jawatan antara wakil rakyat Bersatu dan Umno di Johor, yang didakwa diagihkan secara tidak sama rata.
Sementara itu, menyentuh tentang pelantikan tersebut, Abd Latiff berkata ia dibuat setelah mengambil kira keupayaan kepimpinan, pengalaman dan sumbangan mereka kepada rakyat.
Pelantikan itu, katanya, berkuat kuasa selama dua tahun, dari 1 Mei 2020 hingga 30 April 2022.
“KPLB bertanggungjawab dan terus komited melaksanakan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) untuk mendepani norma baru dalam penyampaian perkhidmatan berimpak tinggi sesuai agenda pembangunan luar bandar yang holistik, inklusif dan mampan.
“Tahniah di atas pelantikan ini dan diharap dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang untuk kemajuan agensi pada masa akan datang,” katanya lagi.