Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mengambil keputusan untuk mula membuka semula hampir semua sektor ekonomi bermula 4 Mei ini bagi mengurangkan kerugian yang perlu ditanggung.
Muhyiddin berkata demikian dalam perutusan khas hari ini ketika mengumumkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang akan menyaksikan hampir semua sektor ekonomi dan sosial mula dibuka.
"Saya hendak sebutkan di sini bahawa negara kita rugi sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
"Jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion. Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion," katanya.
Kata Muhyiddin keputusan itu diambil tanpa mengetepikan kebimbangan berhubung Covid-19.
Ia juga dibuat selepas " berbincang secara panjang lebar" dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri.
"Kita mesti cari jalan untuk mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak Covid-19.
"Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat," katanya.
Jelas Muhyiddin, sejak dari awal, kerajaan mempunyai perancangan yang jelas dalam memerangi wabak Covid-19 dan menghadapi krisis ekonomi.
Katanya, kerajaan menggunakan strategi yang merangkumi 6 pendekatan iaitu:
- Pertama ialah ketegasan atau resolve dalam tindakan mengawal penularan wabak Covid-19 dengan melaksanakan PKP;
- Kedua, membina ketahanan atau resilience melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi;
- Ketiga, menjana semula atau restart ekonomi secara teratur dan terkawal;
- Keempat, melaksanakan strategi pemulihan atau recovery ekonomi dalam menghadapi norma baharu;
- Kelima, memperkasa atau revitalize ekonomi secara menyeluruh demi
- kelangsungan masa hadapan; dan
- Keenam, menyusun semula atau reform struktur ekonomi untuk membolehkan negara dan saudara-saudari semua melangkah ke era kehidupan yang sudah berubah dengan adanya ‘norma baharu’ atau ‘new normal’.
"Alhamdulillah, pendekatan pertama dan kedua telah membuahkan hasil.
"Kini, kita telah bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati," katanya.
Bagaimanapun, dalam ucapannya Muhyiddin berkata perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal, masih tidak dibenarkan.
Antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran.
Muhyiddin juga berkata, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan tetap diteruskan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi.
Malaysia mula menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagi menangani Covid-19 yang menyaksikan hampir semua sektor ekonomi terjejas.
Bagaimanapun, PKP dilihat membuahkan hasil apabila kes harian Covid-19 di Malaysia berada di bawah paras 100 sejak lebih dua minggu lalu.
PKP sebelum ini dijadualkan tamat pada 12 Mei. Dengan perkembangan terbaru ini, Malaysia akan beralih kepada PKPB bermula minggu depan.