Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KSM nak semak undang-undang pekerja agar sesuai norma baru
Diterbitkan:  May 1, 2020 2:03 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Kementerian Sumber Manusia (KSM) berhasrat membuat semakan semula ke atas undang-undang pekerja di negara ini agar bersesuaian dengan keperluan norma baru pasca pandemik Covid-19.

Menterinya, M Saravanan berkata ia bagi memastikan undang-undang pekerja relevan dengan persekitaran semasa dalam memberi jaminan hak kebajikan dan keselamatan mereka dilindungi.

"Kita tidak boleh menganggap bahawa norma pekerjaan pada masa lalu kekal relevan pada hari ini. Kita perlu berubah, dalam cara kita bekerja, cara kita berfikir, cara kita berinteraksi dan cara kita bertindak hendaklah seiring dengan situasi semasa.

"Budaya norma baru pekerjaan merupakan cabaran kepada majikan dan pekerja untuk bertindak dengan bijak menerokai idea bekerja dengan cara baru bagi menghadapi persekitaran pekerjaan yang kompleks dan sentiasa berubah kini.

"Justeru, saya berpandangan bahawa KSM perlu membuat semakan semula ke atas perundangan perburuhan di negara ini agar ia bersesuaian dan bertepatan dengan keperluan masa kini," katanya dalam perutusan Sambutan Hari Pekerja tahun 2020 yang bertemakan “Pekerja dan Cabaran Budaya Norma Baharu”.

Katanya, tanggal 1 Mei merupakan hari simbolik kepada golongan pekerja walaupun tidak dapat disambut pada tahun ini akibat wabak Covid-19.

"Mengambil kira situasi semasa dan senario akan datang berkenaan dengan persekitaran pekerjaan, KSM tidak dapat menganjurkan sambutan Hari Pekerja secara tahunan di mana perhimpunan umum adalah tidak dibenarkan sehingga hujung tahun.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa perniagaan, pekerjaan dan kehidupan kita akan berubah kepada satu norma baru walaupun selepas berakhirnya PKP nanti," katanya.

Kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020 bagi membendung penularan Covid-19 melalui empat fasa yang akan berakhir pada 12 Mei.

Pada awalnya hanya beberapa sektor pekerjaan penting dibenarkan, namun kerajaan kini mula melonggarkan PKP dengan hampir semua sektor ekonomi akan mula beroperasi semula pada 4 Mei.

Perdana menteri, Muhyiddin Yassin sebelum ini mengingatkan rakyat Malaysia agar bersedia menghadapi normal baru kerana kehidupan pasca Covid-19 selepas ini tidak lagi sama seperti dahulu.

Program penempatan semula pekerjaan

Sementara itu, Saravanan memberitahu bahawa KSM melalui Jabatan dan Agensi di bawahnya sedang merangka strategi dalam menghadapi tempoh pasca Covid-19 dan PKP yang akan melibatkan kerjasama serta penglibatan semua pihak berkepentingan.

"Kita akur bahawa “Business is not as usual” di mana persekitaran hari ini bukan lagi seperti tahun-tahun terdahulu.

"Melalui pendekatan ini, Jabatan Tenaga Kerja atau JTK akan memainkan peranan yang amat signifikan dalam aspek perancangan penempatan semula pekerjaan atau “redeployment. 

"Pendekatan ini akan memastikan kes-kes pemberhentian pekerjaan berlaku pada tahap minimum.

"Program penempatan semula pekerjaan atau “redeployment” ini akan melibatkan program latihan semula atau program “reskilling” dan “upskilling” kepada para pekerja," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS