Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno Pasir Gudang pertahan pelantikan Khaled di YPG

Pemuda Umno Pasir Gudang hari ini tampil mempertahankan pelantikan Mohamed Khaled Nordin sebagai pengerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG).

Ketuanya, Noor Azleen Ambros, berkata sebagai sebahagian daripada parti yang membentuk kerajaan di Johor, Umno mempunyai hak yang sama diterima pemimpin lain dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) itu.

"Siapa pun yang akan dilantik untuk menjawat jawatan dalam mana-mana yayasan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor - dan dalam hal ini, YPG - dia kena mewakili kerajaan semasa.

"Dalam kes ini Umno dengan Bersatulah, kan?" katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Noor Azleen berkata demikian sebagai mengulas pertikaian dibangkitkan pemimpin Bersatu atas pelantikan Khaled - yang juga bekas menteri besar Johor - sebagai pengerusi YPG.

Sebelum ini, Adun Kempas, Osman Sapian, membangkitkan isu pelantikan jawatan dalam kerajaan Johor di antara wakil rakyat Bersatu dan Umno yang didakwanya diagihkan secara tidak sama rata.

Di peringkat negeri, Osman memberikan beberapa contoh yang menurutnya menunjukkan pemimpin Bersatu dipinggirkan oleh pemimpin Umno.

Bekas menteri besar Johor dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu juga membangkitkan pelantikan Khaled sebagai pengerusi YPG dan mempertikaikan mengapa wakil rakyat di kawasan itu - seperti Che Zakaria Mohd Salleh - tidak dilantik.

Cuma wakil rakyat biasa

Bagaimanapun, Che Zakaria memberitahu Malaysiakini, beliau akur dengan pemecatannya itu.

Che Zakaria yang juga wakil rakyat Bersatu bagi kawasan Permas berkata pemecatan bukan sahaja berlaku di peringkat negeri, malah persekutuan.

Namun, Khaled yang dihubungi Malaysiakini enggan mengulas lanjut perkara itu dan menyifatkan apa yang berlaku sengaja ditimbulkan pihak tertentu yang cuba "mencari pasal".

Mengulas lanjut perkara itu, Noor Azleen berkata, dalam situasi Che Zakaria ketika ini, beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam parti Bersatu dan hanya merupakan wakil rakyat.

"Dia tidak ada apa jawatan dalam Bersatu, dia hanya wakil rakyat biasa. Dia kalah dalam pemilihan Bersatu di peringkat bahagian baru-baru ini.

"Jadi, kalau kata dia tak puas hati dengan pelantikan Khaled sebagai pengerusi YPG, OK-lah. Dia tak puas hati kerana dia wakil rakyat.

Adun Permas, Che Zakaria Mohd Salleh

"Tapi, apa yang dia kena faham ialah pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pemegang amanah dalam mana-mana yayasan di Johor haruslah mewakili kepentingan parti yang membentuk kerajaan, dan Umno adalah sebahagian parti yang membentuk kerajaan," katanya.

Justeru kata Noor Azleen, dalam konteks itu Khaled adalah ketua Umno bahagian Pasir Gudang dan pelantikannya tidak wajar dijadikan isu.

Sementara itu, Noor Azleen juga turut menyifatkan Osman sebagai sombong apabila berkata Khaled sebagai "bukan siapa-siapa".

"Saya tak tahu macam mana nak jawab kenyataan Osman bahawa Khaled bukan siapa-siapa.

"Yalah, Khaled ketua bahagian dan diperingkat pusat dia adalah naib presiden Umno, dan Umno adalah sebahagian parti yang membentuk kerajaan.

"Jadi, apabila dia kata Khaled bukan siapa-siapa itu agak sombonglah," katanya.


Baca 'Agihan jawatan dalam GLC bukan jalan kukuhkan PN'


Bagaimanapun, Noor Azleen berkata pertikaian yang timbul berhubung pelantikan itu hanyalah disebabkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak di Johor yang tidak selesa dengan pembentukan kerajaan negeri antara Umno dan Bersatu.

Mengulas kegagalan kerajaan negeri mengagihkan bantuan bakul makanan untuk golongan isi rumah B40 yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP), Noor Azleen mempersoalkan peruntukan terus - berjumlah RM20,000 - yang diperolehi Che Zakaria.

Menteri Besar ke-16 Johor, Osman Sapian

"Pertama, memang itulah tanggungjawab YPG iaitu melaksanakan tanggungjawab untuk membantu masyarakat yang terkesan dengan krisis Covid-19.

"Kalau ikutkan apa yang YPG buat sebelum ini, mereka terima lebih 8,000 permohonan dan saya rasa ia telah buat apa yang patut. Tetapi apa yang saya pertikaikan beliau sebagai wakil rakyat yang menerima terus peruntukan daripada kerajaan berjumlah RM20,000.

"Apa yang dia buat daripada peruntukan terus yang diterima dari kerajaan?" soalnya.

Tambah Noor Azleen, dia tidak pasti jika ada peruntukan lain terima Che Zakaria sebagai wakil rakyat.


Baca Mereka saja nak cari pasal, kata Khaled


Dalam laporan Malaysiakini semalam, Che Zakaria berkata, pihaknya menegalami kesukaran mengagihkan bakul makanan untuk golongan isi rumah B40 yang terjejas akibat PKP.

"Masa zaman PH dulu, sebelum puasa sudah ada peruntukan yang diberikan, seiap seorang akan menerima RM100 berserta barang dapur RM100.

"Sekarang ini, apabila saya mohon dan sudah seminggu saya mohon belum ada jawapan. Itu yang kita marah," katanya.

Pada 20 Mac lalu, kerajaan negeri Johor mengumumkan beberapa inisiatif yang boleh meringankan impak ekonomi akibat Covid-19.

Menteri Besar, Hasni Mohammad, berkata antaranya bantuan one-off RM20,000 kepada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS