Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki bunuh diri lepas tikam isteri, bapa mentua

Seorang lelaki berusia awal 40-an menikam isteri dan bapa mentuanya sebelum membunuh diri, di Bangi semalam.

Menurut polis, insiden itu berpunca daripada pertelingkahan rumah tangga berhubung masalah kewangan pasangan itu.

Ketua Polis Kajang Zaid Hassan berkata, lelaki itu didapati memukul isterinya, juga berusia lingkungan 40-an, ketika pertelingkahan tersebut.

Susulan itu, wanita itu bersama-sama bapanya ke balai polis untuk membuat laporan. Lelaki tersebut turut hadir ke balai polis.

"Selepas laporan dibuat, mangsa (isteri) dan bapanya, serta suspek (suami) pulang ke rumah dengan satu kereta untuk mengambil beberapa dokumen agar isteri boleh mendapatkan rawatan.

"Kedua-dua suami dan isteri ingin menyelesaikan perselisihan mereka secara damai. Mereka dilihat meninggalkan balai dalam keadaan tenang.

"Tiada konfrontasi, dan suspek tidak menunjukkan tanda-tanda sikap agresif," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun Zahid berkata apabila ketiga-tiga mereka tiba di rumah, suami mengambil pisau dan menikam isteri dan bapa mentuanya.

Mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

Ketika pasukan polis ke rumah untuk menahan lelaki itu, kata Zaid, arahan mereka agar pintu dibuka tidak mendapat respons.

"Polis terpaksa memecahkan pintu. Apabila pasukan masuk ke rumah, mereka menemui mayat mangsa (suami)," katanya lagi.

Zaid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dengan kematian suspek diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Malaysiakini tidak melaporkan kaedah bunuh diri, selaras dengan garis panduan laporan kes seumpama itu oleh Kementerian Kesihatan.

Jika anda merasa tertekan atau mengalami kemurungan, atau kenal sesiapa yang mengalaminya, anda boleh menghubungi Befrienders di talian 03-79568145/8144 atau emel kepada [email protected] untuk mendapatkan bantuan.

Bagi maklumat lanjut berkenaan talian Befrienders di negeri-negeri, kunjungi laman web www.befrienders.org.my.

Bagi isu berkaitan kebajikan, penderaan dan pembuangan bayi, boleh hubungi di talian bebas tol Talian Kasih 15999.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS