Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 ditahan disyaki terlibat perlombongan haram di Kelantan

Kerajaan Kelantan mengesahkan polis telah menahan dua individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan perlombongan haram di Hutan Simpan Jedok, Tanah Merah.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah ketika diminta mengulas perkembangan kes itu berkata, tangkapan dibuat pada Isnin lalu dan kini dalam siasatan polis.

Beliau berkata, tangkapan dibuat ketika operasi pihak berkuasa selepas pendedahan media berkenaan kegiatan itu yang berjalan ketika perintah kawalan pergerakan.

Tangkapan kemudian dimaklumkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, katanya lagi.

"Menerusi laporan yang kita terima (daripada PTG), aktiviti itu dilakukan secara haram oleh syarikat atau individu yang tidak dikenali," katanya kepada media selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Terhadulu, media melaporkan penduduk kawasan itu mendakwa sekumpulan warga asing terlibat dalam perlombongan secara haram sejak PKP dilaksanakan.

Kegiatan itu dikesan di kawasan Hutan Simpan Jedok, kira-kira 10 kilometer dari Kampung Lawang, Tanah Merah.

Menurut laporan, penduduk turut mendakwa sungai di sekitarnya yang jernih mula tercemar sehingga menjejaskan kegiatan harian kira-kira 2,000 penduduk di lima kampung berhampiran.

Sementara itu Mohd Amar berkata, belum pasti jenis mineral di kawasan itu kerana kegiatan perlombongan haram masih di peringkat awal.

"Perlombongan haram di kawasan itu masih di peringkat awal bagi proses penjelajahan bagi mengenalpasti jenis mineral yang terdapat di lokasi itu.

"Kita pun belum pasti jenis galian yang ditemui sebab masih di peringkat penjelajahan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS