Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bantuan melalui kawat duri sebabkan agihan tak sama rata
Diterbitkan:  Apr 30, 2020 4:13 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Kerajaan menggesa NGO dan orang ramai agar tidak mengedarkan bantuan di kawasan perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) melalui pagar kawat berduri yang telah dipasang.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan yang disampaikan dengan cara itu boleh menyebabkan berlaku pengagihan tidak sekata.

"Bila kita hantar (bantuan) persendirian, tak lalui pusat tak lalui pusat operasi, pusat operasi tak tau.

"Jika ni dah terima bantuan, NGO lain datang mungkin hantar bantuan ke rumah sama.

"Jadi akan berebutlah, ada yang tak dapat, ada yang dapat secara berlebihan," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Beliau menggesa mereka yang mahu menghantar bantuan menyalurkannya melalui pusat-pusat operasi supaya dapat diagihkan secara adil.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gambar bantuan yang diedarkan melalui pagar kawat berduri di Selayang.

Semalam, Malaysiakini melaporkan penduduk di Selayang Baru yang dikenakan PKPD, menerima penghantaran makanan dan barangan lain daripada rakan-rakan dan keluarga melalui kawat berduri itu.

Makanan di kawasan PKPD sepatutnya dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Bagaimanapun, ramai penduduk yang ditemui mengadu ia tidak mencukupi.

Ramai juga tidak mengetahui adanya pusat operasi kerajaan di mana mereka boleh meminta pertolongan dalam membeli bekalan makanan tambahan.

Ismail sebelum ini berkata setiap kawasan PKPD perlu mempunyai satu pusat operasi. 

Beliau sebelum ini menasihatkan mereka yang memerlukan bantuan untuk menghubungi Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan di talian 03-61201092 atau 03-61261500.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa meminta maaf kepada penduduk di Selayang berikutan kekurangan bekalan makanan dalam tempoh dua hari pertama PKPD.

PKPD di Selayang dijadualkan tamat pada 3 Mei depan tetapi bergantung kepada keputusan kerajaan sama ada akan melanjutkannya atau tidak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS