Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Pecat saya tak jadi hal, tapi kenapa lantik Khaled pengerusi YPG'

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Che Zakaria Mohd Salleh akur dengan pemecatannya sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

Che Zakaria yang juga wakil rakyat Bersatu berkata ini kerana pemecatan tersebut bukan sahaja berlaku di peringkat negeri, malah persekutuan.

Bagaimanapun, Che Zakaria berkata apa yang menimbulkan ketidakpuasaan hati dan kini menjadi pertikaian wakil rakyat Bersatu Johor, melibatkan perkara-perkara kecil yang tidak ditangani dengan betul.

"Pemecatan sebagai ahli lembaga Kejora itu dah lama dan tak jadi isu lagi bagi saya, sebab satu Malaysia jadi benda (pemecatan ahli politik) ini dan bukan kata di Johor sahaja. Sebaliknya benda-benda lain yang jadi isu, benda-benda kecil.

"Dan benda-benda yang berlaku di Johor ini sebenarya perkara kecil sahaja tapi sebab tak ditangani dengan betul, itu yang jadi tak puas hati wakil rakyat Bersatu. Itulah cerita dia," kata Che Zakaria ketika dihubungi Malaysiakini.

Che Zakaria berkata demikian ketika diminta mengulas pemecatan beliau sebagai ahli lembaga pengarah Kejora yang menjadi salah satu punca Bersatu marah pada Umno di Johor.

Pengasas jadi pengerusi YPG

Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata terdapat dua perkara yang menjadi pertikaian wakil rakyat Bersatu Johor ketika ini.

Pertama, melibatkan isu pengagihan bakul makanan untuk golongan isi rumah B40 yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kedua berkaitan dengan pelantikan jawatan antara wakil rakyat Umno dan Bersatu, kata Che Zakaria.

"Masa zaman Pakatan Harapan (PH) dulu, setiap sebelum puasa sudah ada peruntukan yang diberikan, seiap seorang akan menerima RM100 berserta barang dapur RM100.

"Sekarang ini, bila saya mohon dan sudah seminggu saya mohon belum ada jawapan. Itu yang kita marah," katanya.

Mengulas perkara kedua yang menjadi pertikaian wakil rakyat Bersatu Johor, Che Zakaria berkata ia melibatkan pelantikan Ketua Bahagian Umno Pasir Gudang, Khaled Nordin (gambar) sebagai pengerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG).

"Yang kita marah sekarang ini juga adalah pelantikan Datuk Seri Khaled Nordin sebagai pengerusi Yayasan Pasir Gudang, itu yang kita marah sekarang.

"Datuk Khaled Nordin ini pengasas YPG dan bila dia pengasas kenapa semasa zaman kita PH dulu tak timbul pengasas boleh jadi pengerusi.

"Tapi sekarang ini disebabkan dia pengasas dia nak lantik diri dia jadi pengerusi. Itu yang kita pertikaikan. Lagi pun Khaled Nordin bukan wakil rakyat yang nak jadi pengerusi YPG, sedangkan wakil rakyat kawasan masih ada.

"Saya masih ada untuk PN, kenapa dia tak memandang pada saya. Itu yang Bersatu marah sekarang ini," kata Che Zakaria.

Bekas menteri besar Johor Osman Sapian semalam membangkitkan isu pelantikan jawatan antara wakil rakyat Bersatu dan Umno di Johor, yang didakwa diagihkan secara tidak sama rata.

Di peringkat negeri, beliau turut memberikan beberapa contoh yang menurutnya menunjukkan pemimpin Bersatu dipinggirkan oleh pemimpin Umno daripada pelantikan ke dalam agensi kerajaan negeri.

Beliau juga turut membangkitkan isu pelantikan Khaled sebagai pengerusi YPG, dengan mempertikaikan mengapa wakil rakyat di kawasan itu seperti Che Zakaria yang merupakan Adun di bawah parlimen Pasir Gudang tidak dilantik.

Untuk rekod, pada PRU ke-14, Khaled yang ketika itu merupakan menteri besar kalah bertanding di Pasir Gudang menentang Hassan Karim dari PKR (61,615).

“Khaled ni siapa? Bukannya ahli parlimen atau Adun. Dia nobody (bukan siapa-siapa),” kata Osman.

Bagaimanapun, Che Zakaria berkata beliau telah meminta penjelasan daripada pihak Menteri Besar Johor, Hasni Mohamad berhubung pelantikan Khaled.

"Bila kita tanya pihak menteri besar, mereka kata dia tak ada pelantikan.

"Baru orang menteri besar datang ke pejabat saya. Dia kata menteri besar belum buat pelantikan. Jadi, dekat situ kita nampak benda-benda ini tergantung.

"Perkara-perkara kecil seperti ini tergantung, sebab itu kita marah. Kita tak boleh bantu rakyat, itu yang kita marah. Sedangkan rakyat di luar sana sudah kelaparan, sudahlah tak boleh pergi kerja, gaji pula tak ada dan kalau kita tak bantu macam mana mereka nak makan.

"Sepatutnya YPG ini ada peruntukan kena bantulah rakyat Pasir Gudang. Nak simpan duit itu buat apa?" Soal Che Zakaria.

Agihan tak telus

Selain itu, Che Zakaria turut membangkitkan isu lantikan ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang turut menjadi punca kemarahan Bersatu ketika ini.

"Kalau (isu) yang besar banyaklah, macam GLC-GLC. Kita sebagai wakil rakyat tak diberi kemudahan GLC, sebab kita dalam Bersatu ini ada 11 wakil rakyat dan kita dulu BN tak ada masalah.

"Masalahnya hanya bila menteri besarnya datang dari orang Umno. Bila perkara-perkara ini berlaku kita pertikaikanlah.

"Perkara kecil pun menteri besar tak boleh nak selesai macam mana? Dan sekarang kita mula mempertikaikannya, itu yang jadi punca sebenarnya.

"Kita sebenarnya awal-awal tak ada masalah. Tapi, apabila ketidaktelusan berlaku dalam pengagihan macam ini, itu yang kita jadi tak puas hati," tambahnya.

Malaysiakini sudah menghubungi menteri besar Johor yang juga Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohammad dan Khaled Nordin untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan wakil rakyat Bersatu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS